Tuesday, March 13, 2007

Penulisan Bahasa Tempatan

Sejak sedemikian lama gereja Roman Katolik pada zaman Gelap telah mengamalkan penggunaan bahasa Latin dalam liturgi dan al-Kitab. Alkitab Vulgate, satu-satunya penterjemahan Latin yang disahkan oleh gereja merupakan kitab yang digunakan oleh orang-orang Kristian seluruh dunia, meskipun rata-rata masyarakat umum di negara-negara Eropah dan luar Eropah tidak memahaminya. Penguasaan Alkitab dan ilmu keagamaan hanyalah di tangan golongan elitist yang terpelajar dan kaya, dan tidak sekalipun mengubah masyarakat untuk mencapai kemajuan peradaban.

Dengan reformasi Luther yang menyaksikan penterjemahan Alkitab kepada bahasa German dan juga usaha William Tyndale yang telah menterjemah Alkitab ke dalam bahasa Inggeris, meskipun dengan tentangan hebat golongan pemerintah dan elitist agama, dan juga dengan penemuan mesin cetak telah menyaksikan perkembangan hebat syiar Reformasi Kristian di Eropah. Pengetahuan agama yang sebelum ini dikuasai orang asing yang berbahasa latin kini bebas daripada monopoli apabila orang-orang tempatan dapat menghayati keindahan Firman Tuhan dalam bahasa sendiri dan berkembang dalam kehidupan peribadi dan korporat.

Kewujudan Alkitab dan pengajaran agama dalam kepelbagaian bahasa pada hari ini, membuktikan bahawa Tuhan tidak terikat pada mana-mana budaya, malah menjadi Tuan empunya kepada semua budaya dan peradaban di dunia, dan setiap manusia berpeluang mengenali Tuhan melalui Yesus Kristus yang diwahyukan melalui Alkitab dalam konteks yang dapat dihayati dan difahami oleh orang-orang kaya dan miskin, terpelajar dan buta huruf.

Dalam konteks Malaysia pada hari ini, kolonialisme Inggeris ke atas masyarakat Malaysia telah menyaksikan perkembangan gereja yang walaupun berasaskan kepada budaya dan kepimpinan Asia, tetapi banyak berasaskan kepada penghayatan dalam medium Bahasa Inggeris. Mungkin ini adalah disebabkan demografi masyarakat Kristian di Malaysia yang rata-ratanya golongan kelas menengah di bandar-bandar yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Di samping itu, sejarah gereja Malaysia yang banyak berasal daripada negara-negara berbahasa Inggeris menyaksikan kesinambungan penggunaan Bahasa Inggeris dalam ibadah dan teologi. Tambahan pula, kemajuan kegiatan pemikiran dan penulisan di negara-negara asing memberkati masyarakat Kristian di Malaysia apabila kita dapat menggunakan hasil penerbitan asing untuk perkembangan spiritual dan pengajaran agama kita.

Namun begitu, satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan bahawa negara kita merupakan negara majmuk yang didiami oleh pelbagai masyarakat, budaya dan bahasa. Penggunaan bahasa tunggal sebagai medium ibadah tidak akan efektif dalam meningkatkan pembangunan spiritual dan memperkayakan pengalaman ibadah kita kerana tidak semua orang mahu dan mampu berbahasa dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil mahupun bahasa kebangsaan. Kewujudan gereja Malaysia dalam pelbagai sidang yang menggunakan pelbagai bahasa mewujudkan satu keperluan untuk bahan-bahan pelbagai bahasa, khususnya penulisan dan penerbitan untuk refleksi teologi dan pendidikan di gereja.

Mahukah kita mengulangi sejarah silam gereja dengan terus-menerus mengiakan penguasaan dan kemajuan pendidikan Kristian dalam satu-satu bahasa tunggal?

Tidakkah kita ingin melihat Injil dan pembangunan spiritual bertumbuh dengan segar dalam bahasa-bahasa tempatan, yang akan menyemarakkan penghayatan agama di setiap lapisan masyarakat?

Bukankah Injil yang diperkhabarkan oleh Yesus Kristus, anti-elitis dan anti-Farisi?

Bukankah Injil yang difahami orang buta di tepi jalan, orang-orang kafir di Samaria, rabbi-rabbi Yahudi dan oleh orang-orang Yerusalem, Yudea dan seluruh pelosok dunia (Kis 1:8)?

No comments: