Sesungguhnya, perjalanan iman dan kehidupan iman seseorang hawariyun adalah sesuatu yang sangat mencabar khususnya dalam dunia ini. AlKitab menyatakan bahawa sekiranya kita menjadi sahabat kepada dunia, maka kita bermusuhan dengan Kristus, dan sekiranya kita bersahabat dengan Kristus, kita menjadi musuh dunia.
Firman Tuhan ini sememangnya tepat bagi menjelaskan kedudukan kita dalam masyarakat pasca-moden hari ini. Lebih lebih lagi, hidup dalam masyarakat metropolitan di Auckland memberi suatu cabaran baru kepada saya untuk memikirkan semula iman saya, untuk mencabar keyakinan saya dan membuat suatu keputusan yang jitu untuk terus memilih Kristus atau meninggalkan-Nya.
Sebelum saya menjejakkan kaki ke tanah ini, saya berasa sungguh letih. Cubaan dan dugaan yang semakin bertambah dalam kehidupan saya sering menyebabkan saya tersungkur dan keletihan dalam perjalanan iman saya sehari-hari. Ditambah pula dengan tiadanya persekutuan dengan para hawariyun yang lain, kehidupan spiritual saya terasing, terbiar dan tidak dikhuatirkan. Kerunsingan dan kesibukan dalam membuat persediaan memberi lebih alasan untuk tidak mempedulikan keadaan saya ini.
Sesampainya saya disini, saya didedahkan dengan masyarakat yang pasca-moden. Apakah itu pasca-moden? Ia merupakan suatu falsafah yang menyatakan bahawa kebenaran itu tidak mutlak. Tiada orang yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai kebenaran kerana kebenaran tidak semestinya benar bagi setiap individu. Dan walaupun masyarakat tidak menganut pasca-kemodenan secara umumnya, kehidupan dan budaya hidup mereka memperlihatkan pasca-kemodenan yang seterusnya memberi lebih cabaran kepada saya sebagai seorang pengikut Kristus.
Salah satu daripada kesan pasca-kemodenan ialah kepercayaan individualistik di mana kepercayaan dan prinsip seseorang adalah sesuatu yang sulit dan sensitif. Adalah sesuatu yang sangat janggal untuk bertanyakan kepercayaan dan falsafah hidup seseorang pada pertemuan pertama, berlainan daripada masyarakat Malaysia dimana seseorang individu dikenali melalui kepercayaannya. Integrasi kaum pendatang, Eropah dan Maori kepada suatu 'common value' sungguh ketara di mana tiada banyak yang boleh dibezakan antara satu sama lain sekiranya dilihat melalui cara hidup dan budaya mereka. Mereka mempunyai bahasa, dialek, pakaian, makanan harian, cara hidup, kepercayaan yang hampir sama, menyebabkan sukarnya untuk menentukan samada seseorang itu merupakan pengikut Kristus yang serius mahupun tidak. Ini menyukarkan saya untuk mengidentifikasikan diri saya dengan masyarakat Kristian di situ.
Selain itu, kesan pasca-kemodenan menyulitkan saya untuk mempertahankan kebenaran, ataupun apa yang saya anggap sebagai kebenaran. Sikap toleransi yang tinggi dalam masyarakat pasca-moden terhadap kepelbagaian khususnya dalam masyarakat barat, menghalang seseorang daripada memperkatakan kebenaran hujah-hujahnya kerana seseorang itu seharusnya menghormati kepercayaan individu lain meskipun kepercayaan orang lain itu salah dari segi moral. Contohnya, seseorang gadis yang mengamalkan seks sebelum perkahwinan percaya bahawa seseorang mempunyai hak untuk memilih selagi ia tidak menghalang orang lain. Oleh yang demikian seorang gadis lain yang mengamalkan 'abstinence' tidak berhak untuk menyatakan bahawa gadis pertama itu salah, kerana tidak ada kebenaran yang mutlak. Ini memberi kesan yang besar kerana ia mengehadkan kepercayaan seseorang Kristian kepada dirinya sendiri. Lama kelamaan penyendirian ini akan menyebabkan seseorang itu mengalah atau terpengaruh kepada hujah hujah asing yang sememangnya pasca-moden.
Pasca-kemodenan juga membawa arus pemikiran kritis dan kreatif. Malah, pasca-kemodenanlah yang memberikan satu persoalan kepada semua yang maklumat diterima. Walau bagaimana kuatnya kepercayaan seseorang terhadap sesuatu perkara (contohnya kewujudan Allah), seseorang itu tidak akan dapat lari daripada mempersoalkannya samada disedari mahupun tidak disedari.
Seseorang itu akan bertanyakan, "Apakah semua yang aku percaya, aku amalkan, aku ikutkan ini betul dan orang lain salah?",
"Mengapakah harus saya mempercayai ini bulat bulat sedangkan saya mempunyai akal untuk menentukan kesahihannya?",
"Adakah saya benar benar percaya apa yang saya percaya (contohnya kewujudan syurga dan neraka)? Ataupun hanyalah ikut ikutan supaya tidak lari daripada keseragaman masyarakat dan sebagai persediaan 'in case it is real'?",
"Mengapakah saya harus hidup berdasarkan kehendak masyarakat sedangkan ini hidup saya sendiri?"
... malah dalam arus pemikiran Reformasi seseorang sentiasa bertanyakan "Adakah saya harus ikut berdasarkan kehendak agama (peraturan) ataupun kehendak Tuhan? Tuhan bukanlah agama, dan agama bukanlah Tuhan"
Penggunaan akal fikiran dalam masyarakat pasca-moden adalah baik kerana ia memberi suatu kekuatan kepada authority sesuatu kebenaran, melalui penyiasatan dan perdebatan secara kritikal dan akademik (bukannya kepercayaan membuta tuli). Tetapi pada masa yang sama ini memberi suatu pilihan kepada individu untuk mengikut kefahaman akal fikirannya sendiri tanpa disekat orang lain. Tetapi, penggunaan akal fikiran juga memberi cabaran kepada authenticity iman seseorang, kerana idea manusia (Feminism, Kesaksamaan, Kapitalsime, Sosialisme dsbg) mungkin akan mempengaruhi bagaimana seseorang mengamalkan kepercayaannya. Contohnya, panggilan Tuhan dalam Bahasa Inggeris pada masa kini tidak lagi menggunakan kata ganti nama ketiga he, mahupun she kerana idea feminisme menusup masuk ke dalam amalan agama. Bukanlah tujuan saya di sini untuk memperlekehkan falsafah dan penggunaan akal fikiran, tetapi hanya ingin menunjukkan bahaya penggunaan akal manusia dalam mengintepretasikan konsep Tuhan yang sebetul-betulnya.
Rasul Paulus telah menyatakan dalam Kitab Roma, "iman timbul dari pendengaran, dan pendengaran oleh Firman Kristus" dan dalam Kitab Ibrani "Kerana kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita, marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlumba dengan tekun dalam perlumbaan yang diwajibkan kepada kita. Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman..."
Inilah amanat dan panggilan kita sebagai pengikut-Nya. Sesusah mana dan sebesar mana cabaran yang mendatang kepada iman dan kepercayaan kita dalam era pasca-moden ini, biarlah iman kita datangnya daripada Firman Kristus sahaja dan bukanlah akal manusia. Marilah kita menanggalkan segala beban dan dosa yang sering merintang ke arah garisan penamat.
Shalom,
fauzi
Tuesday, February 28, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)
.jpg)