eCommentary ini diambil daripada
The Bible and Homosexuality yang ditulis oleh Tan Soo-Inn, 25 Sept 2006
Dalam komentar tentang buku Roma, M Eugene Boring dan Fred B. Craddock telah menyatakan tentang homoseksualiti.
“Pandangan etika Kristian tentang homoseksualiti adalah subjek yang kompleks yang melibatkan perpektif perundangan, sosial, psikologi dan perubatan, termasuklah rujukan teologi dan alKitabiah. Meskipun ajaran alKitab tentang seksualiti dan dosa tidak boleh dipisahkan daripada proses keputusan etika Kristian, isu ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk beberapa teks alKitabiah.”
Mereka sememangnya betul. Saya sentiasa runsing tentang orang yang cuba memperlekehkan keseriusan isu ini dalam perdebatan, terutamanya subjek yang sangat beremosi dan kompleks seperti ini.
Walau bagaimanapun orang Kristian tidak boleh mengelak daripada berinteraksi dengan pandangan teologi dan alKitabiah, terutamanya jika kita percaya bahawa alKitab yang diinterpretasi dengan betul adalah sumber autoriti kehidupan, akidah dan ibadah kita.
Berinteraksi dengan pandangan teologi dan alKitabiah juga sesuatu yang perlu kita lakukan dengan kebangkitan Pergerakan Lesbian dan Gay yang mendakwa bahawa Gereja telah membaca alKitab dengan salah dan mendakwa bahawa kononnya, tiada larangan terhadap amalan homoseksual terutamanya bagi orang-orang yang setia kepada pasangan dan hubungannya.
(Masalah ini terbit dengan balas dendam apabila baru-baru ini seorang penulis dan pemikir Kristian yang agak berpengaruh telah mendedahkan orientasi homoseksualnya dan berita hubungan komitednya dengan seorang pasangan sama jantina. Dia tengah menghabiskan pengajian doktoralnya dalam Sosiologi dan Teologi di Amerika Syarikat dan berharap agar dapat pulang ke Malaysia untuk menubuhkan gereja yang bersimpati terhadap pasangan homoseksual.)
Apa yang diajarkan oleh alKitab tentang homoseksualiti dan amalan homoseksual?
Saya merasakan bahawa gereja perlulah sentiasa merendahkan diri untuk melihat semula teks alKitab. Malahan, tidak lama dahulu ada orang di dalam gereja yang menghalalkan perkauman dan perhambaan daripada bacaan alKitab.
Dan melalui pembacaan alKitab kita perlulah mengaku bahawa petikan yang membincangkan amalan homoseksual adalah sedikit. Richard B. Hays betul apabila dia mengingatkan kita :
"AlKitab jarang membincangkan amalan homoseksual. Terdapat lebih kurang setengah dozen rujukan ringkas tentangnya dalam alKitab. Dari segi penekanannya pula, ia merupakan isu kecil, berbanding dengan keadilan ekonomi, contohnya."
(The Moral Vision of the New Testament, p.381)
Tetapi di mana terdapat rujukan tentang homoseksual, ajarannya jelas. Roma 1:24-27 terutamanya adalah sangat kritikal.
“Oleh sebab itu Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati mereka untuk berbuat yang bejat, sehingga mereka melakukan hal-hal yang kotor terhadap sama sendiri. Allah yang benar, mereka ganti dengan sesuatu yang palsu. Bukan Pencipta melainkan yang diciptakan itulah justru yang disembah dan dilayani oleh mereka. Padahal yang menciptakan itulah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin.
Karena manusia berbuat yang demikian, maka Allah membiarkan mereka menuruti nafsu mereka yang hina. Wanita-wanita mereka tidak lagi tertarik kepada laki-laki seperti yang lazimnya pada manusia, melainkan tertarik kepada sesama wanita.
Lelaki pun begitu juga; mereka tidak lagi secara wajar mengadakan hubungan dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Laki-laki melakukan perbuatan yang memalukan terhadap sesama laki-laki, sehingga mereka menerima pembalasan yang setimpal dengan perbuatan mereka yang jahat itu.” (Bahasa Indonesia Sehari-hari)
Exegesis penuh petikan ini adalah lebih daripada skop esei ini. Pembaca digalakkan supaya membaca kometar tentang buku Roma yang banyak sekali.
Kita perlu mengenalpasti beberapa perkara. Pertama, Paulus sebenarnya merujuk terhadap amalan homoseksual dan bukannya orientasi homoseksual. Kedua, kedua-dua amalan homoseksual lelaki dan wanita dirujuk. Dan tidak seperti dalam 1 Korintus, Paulus tidak merujuk kepada orang tertentu yang ditangkap berdosa.
Di sini Paulus berbincang tentang manusia secara umum, berhujah bahawa semua manusia berada dalam pemberontakan berdosa ke atas Pencipta mereka.
Hujahnya adalah semua telah berdosa dan tidak mampu memenuhi kemuliaan Allah (Roma 3:23), tetapi adalah sangat menarik bahawa Paulus memilih amalan sejenis sebagai dosa yang menggambarkan kebobrokan umat manusia.
Sekali lagi Hays sangat membantu,
"Paulus mengambil contoh amalan sejenis untuk diberi perhatian kerana dia melihatnya sebagai memberi imej grafik tentang kebobrokan manusia yang menyelewengkan fitrah yang dicipta oleh Tuhan. Tuhan Pencipta telah membuat lelaki dan wanita untuk berpasangan, berbuah dan berganda. Apabila manusia ‘menukar’ peranannya untuk amalan sejenis, mereka menggambarkan situasi rohaniah di mana orang telah ‘menyelewengkan kebenaran Tuhan dengan kebatilan.” singles (ms.388)
Paulus memilih hubungan sejenis sebagai contoh kejatuhan umat manusia kerana expresi imej Tuhan dalam umat manusia adalah dalam ciptaan lelaki dan perempuan
“Demikianlah Allah menciptakan manusia, dan dijadikannya mereka seperti diri-Nya sendiri. Diciptakan-Nya mereka laki-laki dan perempuan.”
(Kej 1:27 Bahasa Indonesia Sehari-hari)
Melarikan diri daripada hubungan lelaki-wanita adalah penentangan kepada fitrah Ilahi.
Tentu sekali kita hidup dalam alam semesta yang tercemar. Sesetengah daripada kita dilahirkan dengan nafsu homoseksual yang kuat. Orang heteroseksual yang tidak mengerti maksud kesunyian dan ketidakpuasan orang homoseksual sepatutnya lebih banyak mendengar dan kurangkan berceramah.
Penulis tenang subjek kerohanian yang saya gemari adalah mendiang Henri Nouwen. Banyak bukunya menulis tentang kesunyian yang mendalam serta keperitan.
Hanya apabila dia meninggal dunia saya menyedari bahawa dia seorang homoseksual. Tetapi dia mengtahbiskan hidupnya. Dia memilih untuk mengtahbiskan hidupnya daripada melibatkan diri daripada aktiviti persetubuhan homoseksual.
Dia seperti seorang pengikut Yesus yang telah memikul salibnya sendiri.
Sangatlah perit bagi manusia yang bobrok, untuk hidup dalam dunia yang bobrok. Kita senantiasa mengidam dunia yang sempurna pada suatu hari nanti apabila penyembuhan terakhir akan datang.
Paulus pernah berkata tentang ciptaan Tuhan yang mengeluh dan menderita ketika menunggu kelahiran semula dan kedatangan penciptaan baru yang penuh dan mutlak. (Roma 8:18-25)
Jika kita mengaku diri kita sebagai pengikut Yesus Kristus, kita seharusnya berusaha supaya hidup dalam cara yang mengubah cara hidup kita dengan cara hidup yang sempurna dan menolak amalan-amalan bobrok dunia yang bobrok.
Ini adalah sangat sukar bagi kita semua, malah lebih sukar kepada sesetengah antara kita.
Lebih banyak keredhaan dipinta.
(Adakah terdapat tekanan supaya gereja diorientasikan kepada homoseksual kerana gereja kita gagal menunjukkan kasih sayang dan penerimaan kepada saudara dan saudari kita dalam Kristus yang mengalami cabaran untuk mengikut Kristus di sebalik cabaran homoseksual mereka? Tuhan akan mengadili kita)
Banyak refleksi jiwa yang perlu dibuat oleh semua.
Jika kita benar-benar berjuang untuk jalan Tuhan maka kita perlu berjuang untuk semua isu dan tidak semata-mana menentang homoseksualiti sahaja.
Saya mengesyaki bahawa banyak daripada kita lebih berminat tentang isu homoseksualiti daripada isu ketidakadilan ekonomi. Dan seperti apa yang Hays ingatkan, Tuhan mempunyai lebih banyak untuk diperkatakan tentang ketidakadilan ekonomi.
Tetapi apa yang kita tidak boleh lakukan adalah menyuarakan sesuatu yang tidak dinyatakan dalam alKitab. Bagi saya, Roma 1:24-27 jelas.
AlKitab tidak membenarkan perbuatan homoseksual.
Saudara anda,
seorang heteroseksual yang berdosa dan diselamatkan oleh kurnia Tuhan,
Soo-Inn Tan