‘Kami nak jumpa mak, minta ampun’
ANGELINA SINYANG
Utusan Malaysia
IPOH 25 Okt. – ‘‘Kami nak jumpa mak...cium tangan mak minta ampun dan maaf sempena Aidilfitri. Rindu sangat kat dia tapi tak tahu di mana dia berada,” demikian luahan hati dua beradik, Mohd. Amirul Tarmizi, 13, dan Mohd. Ayrul Nizam, 12, ketika ditemui di Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah di Kampung Pintu Padang, Sungai Itek, Gopeng di sini.
Dua beradik itu merupakan antara 17 penghuni Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah yang tidak pulang beraya kerana tidak dijemput oleh waris mereka.
Bagi mereka, Aidilfitri tidak memberi apa-apa makna kerana ini bukanlah kali pertama mereka beraya tanpa ahli keluarga di sisi, malah pengalaman sama pernah dirasai pada tahun lalu.
Mohd. Ayrul Nizam yang lebih petah bercakap berbanding abangnya memberitahu, mereka berdua dimasukkan ke asrama tersebut atas perintah mahkamah pada 8 Ogos tahun lalu selepas didera oleh datuk mereka.
‘‘Saya, abang dan seorang adik perempuan tinggal di rumah datuk selepas ibu dan ayah bercerai tahun lalu.
‘‘Ibu pergi membawa abang saya yang sulung tanpa khabar berita sehingga kini manakala kami tiga beradik dijaga oleh datuk semasa ayah keluar bekerja.
‘‘Di rumah datuk, nasib kami amat malang kerana didera. Saya dan abang selalu dipukul dan dikurung, malah tidak diberi makan sekiranya melakukan kesilapan,” katanya sayu menceritakan pengalaman pahit tersebut.
Menurut Mohd. Ayrul Nizam, biar pun perbuatan dera itu disedari oleh bapa mereka tetapi dia tidak berbuat apa-apa.
Akhirnya, akibat tidak tahan menanggung derita, dia bersama abangnya mengambil keputusan melarikan diri menaiki bas dari rumah mereka di Cheras, Kuala Lumpur ke rumah ibu angkat di Tambun di sini.
‘‘Kami mengenali ibu angkat kerana rumahnya terletak bersebelahan rumah ibu saudara. Ibu angkat bagaimanapun tidak boleh menjaga kami kerana dia juga mempunyai anak yang ramai.
‘‘Akhirnya, dia mengambil keputusan menghantar kami ke balai polis untuk membuat laporan dan selepas perbicaraan, mahkamah mengarahkan kami dihantar ke Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah,” katanya.
Seorang lagi anak yatim yang merindui ibunya ialah Mohd. Yunus Nordin, 15, yang kematian bapa pada 2004.
Anak kedua daripada tujuh beradik ini memberitahu, dia dihantar ke Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah pada tahun lalu oleh ibunya.
‘‘Saya tidak tahu apa sebab ibu hantar saya ke sini dan amat sedih apabila dia tidak jemput saya pulang beraya ke rumah tahun ini,” katanya dengan linangan air mata.
Sementara itu, Pentadbir Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah, Ismain Bidin berkata, terdapat waris dan ahli keluarga yang menolak apabila diminta membawa pulang anak-anak yatim di situ pulang beraya ke rumah.
‘‘Bila dihubungi, pelbagai alasan diberikan mereka termasuk tiada kenderaan untuk datang menjemput, tiket bas habis dan ada antara mereka langsung tidak mengangkat telefon.
‘‘Kita sedih dengan keadaan ini kerana biar pun berpeluang meraikan Aidilfitri di asrama ini tetapi keceriaannya berbeza dengan berhari raya bersama darah daging sendiri,” katanya.
Thursday, October 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

.jpg)
No comments:
Post a Comment