Thursday, November 08, 2007

Kebebasan dan naluri manusia


Akhirnya, bolehlah saya menghirup udara segar setelah habis peperiksaan semester kedua. Panjang sekali terasa semester ini berlalu seolah-olah gari yang mencengkam kebebasan. Kebebasan untuk tidur petang, kebebasan untuk bangun lewat, kebebasan untuk pergi membeli-belah di bandar, kebebasan untuk menghabiskan masa dengan sahabat handai, kebebasan untuk membaca buku dan menonton siaran yang digemari, dan sebagainya.

Manis sekali kebebasan ini. Bagi masyarakat-masyarakat yang ditindas seperti Myanmar, Korea Utara, Palestin, Iraq, Afghanistan, Zimbabwe dan negara-negara di mana penindasan dirahsiakan daripada pengetahuan dunia, kebebasan mempunyai makna yang istimewa dalam sanubari hidup dan masyarakat. Aspirasi kebebasan itu menghiburkan jiwa disebalik tahanan penjara, penderaan, pembuangan negeri, kekejaman junta tentera dan penjajah, termasuklah kerajaan yang tidak demokratik. Rakyat tidak dibenarkan bercanggah pendapat dengan pemerintah, jauh sekali daripada menyuarakannya. Semua orang dipaksa untuk menjadi rakyat robot yang hanya mengia-iakan propaganda pihak berkuasa.

Namun apa yang lebih sedih ialah apabila perkataan "bebas" dijadikan seolah-olah perkataan yang kotor. Bebas dituduh sebagai perkataan yang menggalakkan keruntuhan moral, yang menggalakkan ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial, yang boleh menhancurkan peradaban. Bebas itu seolah-olah seekor lipas yang perlu dibunuh agar tidak bertelur, membiak dan mengotorkan rumah.

Benarkah perumpamaan ini? Teruk sangatkah kebebasan ini? Jika kebebasan itu kotor, masakan beribu-ribu pejuang kemerdekaan sanggup menggadai nyawa, masakan beratus-ratus peguam dari Majlis peguam berdemonstrasi meminta kebebasan badan kehakiman, masakan Pak Sako dan penulis-penulis yang ikhlas sanggup menulis untuk memperjuangkan nasionalisme dan kemerdekaan, masakan penulis-penulis hari ini ingin menyuarakan pendapat mereka, masakan pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin?

Hipokritlah kita jika kita menyokong gerakan kebebasan pada zaman pra-merdeka 1957 dan perjuangan kebebasan di negara lain, jika kita sendiri menyokong ketidakbebasan pada hari ini. Mungkinkah keseronokan memiliki kuasa politik, keselesaan pengaruh wang ringgit, harta benda dan kemewahan yang dimiliki kita melalaikan kita? Kita seringkali berdiam diri dan bersikap acuh tidak acuh, kerana jika kita inginkan kebebasan, keselesaan dan keseronokan ini akan hilang?

Atau kebebasan itu kotor kerana junta tentera, kerajaan yang zalim, penjajah, pihak berkuasa itu mahu terus kekal berkuasa? Mungkin bukan sahaja berkuasa dari segi fizikal, juga berkuasa dari segi mencengkam pemikiran dan mentaliti orang ramai seperti menanam perasaan benci antara rakyat?

Jika orang ramai dibenarkan kebebasan, adakah mereka akan membuat pilihan yang teruk? Wajarkah kita mendakwa bahawa mereka akan membuat keputusan yang teruk? Jika orang ramai membuat pilihan yang buruk, adakah itu disebabkan kelemahan didikan kita, bukannya kelemahan gari cengkaman pemerintah? Siapakah kita untuk menentukan apa itu keputusan yang "baik" dan apa itu "buruk"?

Sama-samalah kita renungkan, fikirkan, perbualkan dan debatkan dalam sanubari diri kita.

No comments: