Tuesday, November 06, 2007

Happy Deepavali

Selamat Hari Deepavali diucapkan kepada semua sahabat handai yang berketurunan Tamil, Punjabi, Malayanam, Bengali dan sebagainya. Semoga pesta cahaya ini memberi peringatan untuk kita untuk menjadi cahaya kehidupan kepada mereka yang memerlukan, termasuklah mereka yang miskin, ketinggalan, dilupai dan ditindas.

Dengan pemusnahan kuil-kuil yang mempunyai sejarah hampir 50-60 tahun seperti di Kampung Rimba Jaya baru-baru ini seperti yang dilaporkan dalam media dan kenyataan umum MCCBCHST, saya lihat majoriti rakyat Malaysia masih tak tahu menahu dan tidak kisah tentang perkembangan ini. Ketidakupayaan masyarakat Hindu untuk mendapat tanah gazet dan kemiskinan untuk membeli tanah persendirian mahal setentunya menyukarkan masyarakat Hindu miskin di Lembah Kelang untuk beribadat.

Suara minoriti Hindu Malaysia makin kian kurang kedengaran, saya risau. Bersama dengan masalah kemiskinan, keciciran pelajaran, ketidakadilan ekonomi antara yang kaya, miskin dan antara-kaum menimbulkan tanda tanya: Apakah yang dibuat, dan apa yang boleh dibuat oleh kita, jiran-jiran membantu saudara kita ini?

Saya gembira dengan suara-suara baru yang memberikan harapan walau sekecil api lilin termasuklah Samy Vellu yang lebih berminat untuk berbalas pantun dengan Kayveas. Mujurlah beliau telah menyelesaikan masalah itu dengan MB Selangor, namun tiada jaminan bahawa kes ini tidak akan berlaku pada masa hadapan. Kata-kata Farish Noor sungguh bermakna sekali.

"Dalam kata pendek, apa yang kita saksikan hari ini adalah pemusnahan kuil-kuil Malaysia, dan sebab itulah kita rakyat Malaysia patut bimbang. Tidak kira apa agama yang kita anuti dan tidak kita anuti, ini adalah isu yang perlu dihadapi oleh kita sebagai masyarakat. Memperakui bahawa kuil-kuil ini adalah kuil-kuil Malaysia bermaksud menempatkannya di sini, di tanah air kita, sebagai jati diri bersama dan apa yang makna kepada identiti diri kita" (penterjemahan saya)

Entah-entah mungkin Candi Lembah Bujang dekat Perak pun dibina atas tanah haram. Kalaulah nanti Koridor Utara nak bina lebuh raya, bolehlah kita robohkan.

No comments: