Tuesday, August 21, 2007

Tahun Mengimbas Kembali

Kata Mother Teresa: “Tidak berbaloi menjalani kehidupan yang tidak direnungi.” Begitu jugalah Gereja harus senantiasa menilai diri sendiri demi mengekalkan kesesuaiannya. Sejauh manakah kesan Gereja Malaysia terhadap negara ini sepanjang 50 tahun ini? Adakah ia berjaya mengatasi kelemahan dan ancaman serta memanfaatkan kekuatan dan peluang-peluang dalam daya usahanya membina negara?

Keadaan berpecah belah antara mazhab dengan setiap satu hanya menjaga kepentingan sendiri merupakan kelemahan yang diwarisi dari zaman penjajah. Puji syukur kepada Tuhan kerana kita mencapai kemajuan dalam usaha menyatukan gereja-gereja menerusi penubuhan badan-badan kebangsaan seperti NECF dan CFM. Pelbagai gereja berpadu tenaga demi menjalankan projek-projek yang tidak dapat dijalankan secara individu oleh satu-satu gereja.

Namun, masih wujud suatu ancaman berdasarkan hakikat bahawa Gereja, terutamanya yang di Semenanjung, terdiri daripada dan didominasi oleh masyarakat kelas menengah dan menengah atas. Dari kumpulan ini, ada yang memilih untuk berhijrah ke negara lain apabila mereka menghadapi cabaran kebangsaan yang kritis lantas negara kehilangan sumber modal insan yang berharga manakala pihak Gereja kehilangan kepimpinan yang berwibawa. Sayangnya masalah ini masih belum dapat diatasi.

Kekuatan yang ketara ialah kewujudan Gereja yang agak muda dan penuh bertenaga terdiri daripada ramai penganut generasi pertama dan kedua. Semarak semangat hasil pengalaman peribadi dengan Isa Al-Masih membuatkan kita mahu menjangkau dengan kasih-Nya. Pihak Gereja menggembleng sumber berkuasa ini untuk membawa lebih ramai lagi ke dalam Kerajaan-Nya.

Jika kita melihat dengan teliti, terdapat banyak peluang untuk membina negara. Mungkin terasa seperti ada kekangan di peringkat atas namun pada aras akar umbi ada banyak saluran di mana kita boleh melakukan sesuatu yang berbeza. Warga Kristian dan gereja-gereja perlu lebih peka serta mempunyai keprihatinan dari segi sivik dan sosial demi memanfaatkan peluang-peluang ini.

Kesimpulannya, baik juga jika kita ingat bahawa kita semua duta Isa Al-Masih ke negara kita. Maka, kita harus secara serius menghitung kosnya serta berusaha agar 50 tahun yang mendatang lebih banyak hasilnya berbanding 50 tahun yang pertama kita.

Rev. Wong Kim Kong
Setiausaha Agung NECF

No comments: