Saya ingin memberi pandangan terhadap komen Budi Hartono (Lim Sia Kim) tentang kurang penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan bukan Melayu. Sememangnya gejala ini tidaklah baru malah bertitik tolak daripada zaman pra-merdeka lagi di mana banyak imigran masih lagi berada dalam masyarakat budaya tersendiri.Dengan dasar pendidikan baru, Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengajaran dan seterusnya tahap penguasaan Bahasa Malaysia generasi masa kini meningkat dengan banyak berbanding nenek moyang kami.
Namun masih lagi ada segelintir kumpulan yang masih lagi mempertahankan identiti budaya sendiri dengan menggalakkan bahasa ibunda, dan kerajaan sendiri telah memberikan komitmen untuk mempertahankan budaya minoriti. Ada juga golongan progresif berpendidikan Barat yang berpendapat bahawa Bahasa Inggeris harus diutamakan berbanding bahasa lain, atas sebab-sebab ekonomi dan kemajuan. Namun walau apapun alasan, keperluan untuk membentuk identiti nasional dan perpaduan saya percaya perlulah menjadi keutamaan semua pihak dengan semangat persefahaman, kepercayaan antara satu sama lain dan hormat-menghormati.
Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan dalam temuramah dengan akhbar The Strait Times, menyatakan "Kami menggalakkan integrasi, bukannya asimilasi".
Meskipun saya berpendapat bahawa Bahasa Malaysia harus dikuasai dengan baik dan dibudayakan sebagai identiti nasional, saya ingin memohon jasa baik saudara Budi untuk bercanggah pendapat. Dasar asimilasi yang dijalankan oleh pemerintahan Suharto telah merosakkan budaya etnik minoriti dan meningkatkan lagi perasaan tidak senang dan tidak percaya terhadap kerajaan Indonesia. Konflik perkauman masih banyak berlaku meskipun kononnya Indonesia merupakan negara yang bersatu-padu secara lahiriah sahaja.
Saya percaya rata-rata rakyat Malaysia bersyukur dengan kerajaan Malaysia dalam meraikan kepelbagaian kaum dan budaya, perpaduan dan muhibbah antara satu sama lain sebagai satu kelebihan, bukannya satu kelemahan.
Dengan penguasaan bahasa-bahasa lain di samping bahasa Malaysia, kita mampu menjalinkan hubungan diplomatik, budaya, ekonomi dan politik yang lebih akrab dengan negara-negara Asia yang lain seperti China, India dan Asia Tenggara. Kepelbagaian rumpun budaya Asia yang dimiliki Malaysia, seperti dalam iklan Tourism Malaysia "Malaysia Truly Asia" hanya akan menjadi realiti apabila kepelbagaian budaya dihormati dan dipertahankan.
Mungkin di sini, apa yang kita perlukan adalah untuk memperkasa dan memperbaik sistem pendidikan kebangsaan kita ke arah membentuk masyarakat yang bersatu padu, menghayati identiti kebangsaan seperti Bahasa Malaysia, menghayati sejarah silam dan membentuk sejarah baru bersama ke arah masa depan.
Bersekutu bertambah mutu
.jpg)
No comments:
Post a Comment