Merdeka?
50 tahun kemerdekaan negara Malaysia akan datang pada 31 Ogos. Kehangatan sambutan kini kian terasa dengan UMSA sibuk bersiap sedia untuk majlis makan malam pada 26 Ogos ini. Pada masa yang sama, ramai daripada kita yang masih sibuk dengan assignment assignment universiti, kuliah dan tutorial dan tidak terfikirkan kemerdekaan.
Bagi ramai antara kita, perkataan Malaysia memberi seribu maksud. Malaysia memberikan identity kepada kita tentang asal usul kita, bak kata Maori, whakapapa kita. Di situlah kita dilahirkan, dibesarkan dan disekolahkan dengan setiap individu mempunyai pengalaman yang berbeza.
Ada antara kita yang dilahirkan di situ sehinggalah tamat sekolah menengah, ada yang dihantar ke sini oleh ibubapa ataupun kerajaan, ramai yang meninggalkan Malaysia untuk berhijrah ke sini semasa umur belasan tahun mengikut kehendak keluarga, dan tidak kurang juga yang dilahirkan dan dibesarkan di sini. Ada juga yang mempunyai ibubapa yang berketurunan orang Putih New Zealand, pan-Asian yang mempunyai paras rupa yang molek bak bidadari. Di samping itu, kita mempunyai pengalaman yang berbeza-beza, dari pelbagai kaum, system persekolahan, taraf hidup dan agama dan disatukan di bawah kategori Malaysian, apabila tiba di New Zealand.
Saya tidak tahu setakat mana tahap patriotisme kita terhadap negara dan tidak mahu menunding jari kepada sesiapa kerana bukanlah hak saya untuk mempertikaikan pilihan hidup setiap individu, tetapi saya ingin membawa kita untuk bertanyakan beberapa persoalan yang wajar kita tanya sebagai pelajar universiti yang bertopengkan Malaysia.
1. Apakah makna Malaysia kepada diri kita?
2. Apakah makna Merdeka kepada diri kita?
3. Bagaimanakah identiti diri sebagai seorang Cina, Melayu, India dan kaum etnik bertentangan dengan identiti kebangsaan, dan bagaimanakah saya mencari satu identiti yang koheren?
4. Bagaimanakah identiti kita sebagai Malaysian mencorakkan cara hidup, mentaliti, keperibadian kita sebagai pelajar dan individu pada hari ini?
5. Bolehkah kita menyambut kemerdekaan dengan ertikata yang sebenarnya?
Wednesday, August 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
No comments:
Post a Comment