Saya seringkali berfikir, jika semua agama di dunia ini mempertahankan 'kebenaran' dan 'mengkafirkan' agama-agama yang lain, bagaimanakah kita menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah?
Malang sekali persoalan ini terus mengiang-ngiang dalam benak saya semenjak saya berusia 10tahun lagi. Di sebalik kesibukan rakan-rakan sebaya saya bermain di padang bola sepak, saya sibuk berfikir tentang perbezaan antara 'Brahma', 'Vishnu' dan 'Siva'. Di sebalik kegilaan rakan-rakan saya terhadap Komik Dragon Ball Z, saya bimbang dengan Bursa Saham Kuala Lumpur yang diancam kegawatan ekonomi.
Mungkin kerana keputusan ibu bapa saya untuk menyekolahkan aku di sekolah kebangsaan di mana majoriti pelajarnya kaum Melayu, menyemarakkan lagi minat saya untuk menyiasat pertembungan budaya dan agama. Persoalan-persoalan yang sentiasa diajukan kepada saya saban tahun oleh rakan-rakan Melayu seperti "Betul ke mu dok pernoh semayang? (merujuk kepada solat 5 waktu), atau "Babi tu sedap ke?", atau "Mu kafir, meh aku ajor mung 'ngucap" atau "Apek cina basuh berak pakai tisu" memberi saya satu keinginan untuk terus menyiasat, menganalisa, mencari persamaan, mencari perbezaan, mengkritik dan mencari kekuatan apa-apa sahaja yang saya temui, khususnya cara hidup, mentaliti, falsafah hidup, kebudayaan dan agama orang-orang Cina dan Melayu.
Saya masih ingat terbaca buku "Muhammad in the Bible" semasa kecil dan terkejut melihat tajuk buku tersebut di kedai buku berdekatan rumah saya. Kerana saya kenal rapat dengan tuan punya kedai tersebut, saya meminjam buku tersebut untuk dibaca dan buku itu menimbulkan banyak persoalan kepada saya. Siapakah itu Muhammad? Benarkah dia dinubuatkan di dalam Bible? Adakah pihak 'Orientalis' menipu (mengkorupkan kitab-kitab suci)? Namun, kerana ketiadaan internet ketika itu dan kerana tiada orang yang boleh saya rujuk, saya kuburkan sahaja persoalan itu di dalam hati.
Ketika saya berumur 11 tahun saya dihantar ke rumah seorang guru tusyen, Ms. Shanti. Di situlah saya mula berinteraksi dengan seorang dewasa tentang persoalan-persoalan yang lazim ditanyakan oleh seorang kanak-kanak (tak termasuk ibubapa saya). Satu persoalan besar yang saya tanyakan, "Semua agama menyatakan ia benar, bagaimanakah kita mengetahui Tuhan manakah yang benar?"
Ms Shanti menjawab, "awak berdoalah kepada semua Tuhan yang kamu tahu, dan mintalah/cabarlah 'Tuhan' menjawab, dan sekiranya dia membuktikan kewujudannya, Dialah Tuhan". Suatu pernyataan yang sungguh mengagumkan. Dan minda kecil saya pun kembalilah ke rumah dan terus memikirkan pernyataannya. Jauh di sebalik hati saya ada keinginan yang ikhlas untuk mengetahui 'Siapakah Tuhan itu' dan meminta-Nya untuk menunjukkan dirinya kepada saya.
Malang sekali Dia tidak datang melalui 'wahyu' malaikat, ataupun 'mimpi yang ajaib' ataupun melalui pendakwah-pendakwah. Dia datang secara senyap-senyap. Berkali-kali saya telah diselamatkan daripada dilanggar kereta ketika melintas jalan di hadapan rumah saya, malah ada sekali saya dipisahkan dengan hanya 1 inci daripada kereta yang mendatang. Banyak doa saya telah dikabulkan oleh 'Tuhan' yang tidak saya kenali ini, tidak kira untuk pelajaran saya, kesihatan mahupun hal-ehwal seharian.
Apabila saya mula memasuki sekolah menengah, banyak masalah yang saya hadapi sebagai seorang remaja. Daripada sindrom 'rendah diri' kepada kes buli kepada kurangnya perhatian daripada keluarga, saya berasa diri saya kekosongan. Saya senantiasa cemburu terhadap kejayaan orang lain, pendendam, dan seringkali ingin menunjuk-nunjuk keupayaan diri saya. Semua ini mencerminkan keinginan saya untuk menjadi seorang yang 'signifikan', untuk mencari 'harga' ataupun 'identiti' sebagai seorang kanak-kanak yang berubah menjadi remaja. Apabila dikecewakan, saya sampai ke suatu jalan dimana saya menyeru, "Tuhan, jika Engkau wujud, datanglah kepadaku".
Kebuntuan ini berlarutan hinggalah ke suatu hari apabila saya menemukan suatu 'tract', iaitu yang menerangkan 4 Hukum Rohani. Dalam buku kecil tersebut, saya diterangkan tentang kasih Tuhan dimana Tuhan dengan segala kekayaan dan kemuliaan di syurga telah meninggalkan semua tersebut dan datang dengan penuh kemiskinan, dicemuh, dihina dan sengsara dan disalib demi saya (Phil 2:6-8). Dan ketika saya masih buta dengan dosa saya, Yesus Kristus telah memunculkan diri-Nya kepada saya (Rom 5:8) dan mati untuk saya. Terbuka pintu hati saya apabila memahaminya. Tidak tersangka, Yesus telahpun memunculkan dirinya kepada saya pada ketika saat saya tidak mempunyai apa-apa keinginan untuk mengenalinya. Tiada seorangpun yang sanggup mati untuk saya, melainkan Dia. Kebesaran kasih inilah yang telah membuka pintu hati saya untuk menerima-Nya ke dalam hidup saya dan mengubah hidup saya sehinggalah ke hari ini.
Semenjak itu, saya telah memulakan hidup yang baru dan suatu identiti yang baru. Saya tidak perlu lagi ingin membuktikan 'signifikan' saya kerana Dia telahpun menerima saya seadanya. Saya memperoleh keyakinan hidup yang baru untuk menempuh cabaran hari esok, kerana jika Dia mampu mengalahkan maut, apa lagi yang perlu saya takuti? Saya tidak lagi mencemburi dan mendendami orang lain, kerana pengampunan yang saya terima telah merendahkan diri saya untuk turut memaafkan orang lain seadanya. Saya tidak perlu lagi berusaha mendapat keredhaan Tuhan, kerana keredhaan itu telahpun diberikan kepada saya melalui pengorbanan Yesus yang telah mengambil dosa saya.
Melalui penyiasatan yang mendalam dari semasa ke semasa, dengan mengunjungi rak buku buku Islam di perpustakaan (sehingga menimbulkan syak wasangka), membeli majalah Al-Islam, kepada membaca karangan Zainah Anwar, kepada menyiasat amalan dan kepercayaan Gereja Katolik, gerakan Pentekostalisme, dan Gereja 'reformed', kepada menyiasat perbezaan fahaman Kalvinisme dan Arminianisme, konflik 'law' dan 'grace', kepada menyiasat kebenaran dakwaan Dan Brown dalam Da Vinci Code, kepada mendengar hujah-hujah Ahmad Deedat, Zakir Naik dan Shah Kirit, kepadalah institusi-institusi politikus agama seperti PAS dan mufti-mufti agama Islam, saya terus menerus meningkatkan pemahaman saya dalam kehidupan beragama dan situasi masyarakat masa kini.
Satu pola dalam sejarah beragam yang saya perhatikan adalah: Manusia, fitrahnya dan kegemilangan tamadunnya tidak dapat lari daripada dosa, korupsi dan keruntuhan (Contohnya Tamadun Islam Turki Uthmaniyyah ataupun Tamadun Roman Katolik era Konstantine). Ini semua membuktikan bahawa tamadun keagamaan tidak dapat sesekali menggantikan tempat Tuhan dalam setiap individu.
Agama bukanlah suatu institusi fizikal ataupun peradaban dimana seseorang menumpang kegemilangannya, tetapi agama adalah hubungan seseorang individu tersebut dengan Penciptanya. Agama bukanlah Tuhan dan Tuhan bukanlah Agama. Kecenderungan kita untuk mengidolakan 'agama', hujah-hujah agama dan institusinya mungkin akan mengaburkan mata kita daripada mengenali Tuhan yang sebenar-benarnya.
Melalui pengalaman hidup dalam suasana yang pluralist, saya berasa bersyukur kerana di sebalik pluralisme dalam masyarakat yang saya tinggal, Tuhan mewahyukan dan memunculkan diri-Nya kepada saya dalam cara-Nya yang tersendiri. Saya percaya bahawa saudara dan saudari dalam Kristus mempunyai cerita hidup yang tersendiri di mana Tuhan menunjukkan diri-Nya benar kepada setiap individu yang dipilih oleh-Nya. Meskipun kita tidak dapat lari daripada pluralisme dan kepelbagaian idea, kebenaran Tuhan seperti mana dalam Alkitab akan terus bertahan disebalik kebatilan. Tidak perlulah kita terlalu taksub dengan hujah-hujah dan perdebatan yang sia-sia, kerana hidayah Tuhan bertindak jauh lebih efektif daripada polemik kita yang tidak seberapa.
Thursday, June 22, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
4 comments:
Saya pembaca senyap, tetapi mahu bertanya juga soalan.
Sebagai seorang pluralis, apa yg saudara mahukan pada hujung hidup? Maksudnya, dalam nisbinya dunia ini, setelah mati, apa yang saudara mahukan?
Terima kasih atas komen tersebut. Terkejut saya melihat komen tersebut kerana jarang sekali post saya mendapat balasan dalam masa yang begitu singkat. Haha.
Mungkin bahasa saya ni skema sedikit. Saya tidak suka menggunakan bahasa secara cincai.
Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa dunia masa kini pluralis. Pluralisme secara umumnya bermaksud kepelbagaian. Dari pandangan agama, pluralisme membawa maksud semua jalan menuju kepada Allah (izinkan saya). Dalam agama Hindu dan Buddha tidak silap saya, penganutnya mempunyai pendekatan yang pluralis. Tetapi tidak bagi agama Kristian dan Islam yang mempunyai pendekatan 'eksklusif'.
Saya menyatakan dalam karangan saya bahawa masyarakat yang saya tinggal itu "pluralis". Ini benar kerana kebanyakan orang seolah-olah mempunyai pandangan 'bagimu agamamu, bagiku agamaku', 'asalkan kamu bahagia sudah'. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa saya pluralis.
Dalam Alkitab kita disuruh supaya memisahkan diri daripada 'dunia'. Adakah ini bermaksud semua orang yang beriman kepada Allah harus mewujudkan satu komuniti terasing di dalam hutan terpencil, pulau terpencil ataupun dalam gua untuk mengelakkan daripada dicemari 'kebatilan dunia'? Tidak sama sekali, kita diletakkan di dalam dunia yang korup, tetapi kita disuruh supaya tidak menjadi korup. Malah kita disuruh supaya menjadi terang dan garam kepada dunia (Mat 5:13)
Apakah yang saya mahukan pada hujung hidup, selepas saya mati? Persoalan yang sangat menarik sekali. Secara peribadi apabila saya mati dalam keranda saya, saya ingin mengetahui bahawa saya tidak menyesal dalam memilih jalan hidup saya, saya telah mengecapi apa yang saya mahukan, dan saya telah melakukan kehendak Tuhan dalam hidup saya (God's will).
Seorang alim telah berkata "the chief end of men is to glorify God and to enjoy Him forever".
Dalam segala yang saya buat, bukanlah untuk mendapat merit ataupun pahala, bukanlah untuk mengelakkan neraka, bukanlah untuk membina satu empayar ataupun tamadun, tetapi untuk memuliakan-Nya dalam segala aspek kehidupan saya; amalan, karakter, ibadat, pekerjaan, keluarga, hubungan dengan orang lain dsbg. Saya selalu bertanya kepada diri saya, adakah perbuatan saya memuliakan-Nya mahupun merosakkan nama-Nya?
Dan pada akhir kehidupan saya, saya memandang ke arah hidup yang abadi dengan kekasih saya iaitu Tuhan. Di mana Tuhan berada di situlah tempat yang ingin saya berada, dan menikmati keindahan bersamanya selama-lamanya. Itulah janji dan harapan yang diberikan oleh Kristus, dan janji-Nya tidak berubah.
Ketika saya berada dalam Tingkatan 4, seorang bertanya saya.
Adakah faktor saya memilih untuk mengikut Tuhan?
a) Untuk mengelakkan azab neraka.
b) Kerana saya tersentuh oleh keindahan Ilahi.
Semenjak itu, saya yakin bahawa iman saya tidak diasaskan oleh perasaan takut dan legalisme, tetapi oleh hubungan intim bersama pencipta saya.
Shalom
Mungkin saya tidak memahami soalan saudara... adakah saudara memaksudkan apakah impian saya untuk dunia ini? Apakah perjuangan saya dalam hidup ini?
Saya rasa saya mengimpikan satu dunia yang dapat menerima kepelbagaian dengan baik, dan satu dunia yang bebas daripada perkauman, kemiskinan dan ketidakadilan sosial. Saya mengimpikan agar setiap bidang bebas daripada sifat keji dan nafsu manusia yang mementingkan diri. Saya mengimpikan polilik yang bersih dan ikhlas, saya mengimpikan satu negara yang saya boleh panggil "Tanah Airku" dengan tangisan tanpa dibelenggui prejudis warna kulit, dendam sejarah, mahupun perbezaan fahaman.
Apabila sifat-sifat Tuhan seperti keadilan, kasih sayang, kesamarataan, kesucian dsbg. ditegakkan dalam setiap aspek kehidupan manusia tak kira politik, kemasyarakatan, jurispudens, kesenian, ekonomi dsbg. itulah kebaikan. Saya percaya, sifat-sifat ini boleh diterima oleh masyarakat sejagat. Semua kebaikan tidak kira dari budaya manapun, datangnya daripada Tuhan.
Mungkin saya ini idealis, tetapi idealisme inilah yang menjadi dorongan supaya kita terus menjadi agen-agen "pengubah" di sekeliling kita. Sekecil mana kita sekalipun, kita boleh mengubah situasi disekeliling kita ke arah yang lebih baik, lebih dekat kepada "utopia" yang diimpi-impikan.
Maksudnya jika saya seorang doktor, saya akan menjadi doktor yang terbaik, dan memberi perkhidmatan terbaik untuk pesakit saya, dan memberi akses kepada perkhidmatan saya secara adil tak mengira kemampuan ekonomi, warna kulit. Saya akan melobi supaya jurang perbezaan taraf kesihatan antara etnik dapat dikurangkan, dan memastikan kawasan pedalaman mendapat kemudahan perubatan yang mencukupi. Saya akan memastikan tempat kerja saya harmonis dan politik pejabat dapat dielakkan.
Begitu juga lah dengan bidang-bidang lain.
Demi dunia yang lebih baik.
Saya terus buat telahan awal dengan menyatakan bahawa saudara merupakan seorang pluralis atas beberapa sebab.
1)Saya percaya saudara telah mendalami Kristian, Islam dan Buddha (saya percaya banyak lagi.
2)Terkadang, sifat pluralis yg jelas ialah, menggunakan hujah teologi untuk maksud yg sama melalui pendekatan pelbagai agama.
Jadi saya terus mengandaikan begitu.
Apa pun, berdasarkan jawapan 120 km (hahaha) itu sekaligus mengingatkan saya pada tahap tertinggi dalam capaian tauhid.
1) Beragama/beribadat kerana isbat, iaitu takut neraka dan mengingini syurga.
2) Mengharapkan pujian daripada tuhan.
3) Mengharapkan dirinya diterima tuhan.
Posting saudara yg kedua, saya belum lg ingin bertanya, tetapi terima kasih kerana menjawab terlebih dahulu. Sangat jelas dan saya boleh memahami bagaimana seorang Kristian 'warak' seperti saudara membuat satu pandangan dunia (universal view) secara teologi. Terima kasih.
Kalau tidak keberatan... Apakah pandangan saudara pula tentang keterbukaan dlm Kristian? Contoh: Bruce Almighty, atau pemesongan Da Vinci Code...
Post a Comment