Tuesday, June 27, 2006

Krisis Bahasa Melayu di kalangan bukan Melayu

Saya sungguh tertarik dengan blog Shen Yee Aun di Persada Dunia. Sungguh gembira sekali apabila dapat berjumpa seorang lagi yang berkongsi aspirasi dan komitmen terhadap bahasa Melayu, lingua franca bagi seluruh nusantara ini.

Sungguh menyedihkan sekali apabila saya melihat semula sistem pendidikan di negara kita. Sudahlah pada peringkat tadika, kita disogokkan dengan pelbagai jenis sistem tadika. Sistem Smart Readers, sistem Montessori, tadika-tadika swasta yang dipelopori usahawan-usahawan berasaskan kaum, tadika pelbagai kaum seperti oleh sekolah-sekolah mubaligh berteraskan Bahasa Inggeris, tadika Islam, dan sebagainya, termasuklah KEMAS yang setentunya tidak pernah mendapat sambutan di kalangan bukan Melayu. Lapisan pertama segregasi kaum.

Lapisan kedua segregasi kaum datangnya pula dari sekolah-sekolah rendah. Sekolah Kebangsaan yang hanya mempunyai majoriti murid-murid Melayu dan selebihnya murid-murid bukan Melayu di sesetengah tempat. Sekolah Jenis Kebangsaan pula jelas menempatkan murid-murid bukan Melayu dan memberi pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing. Sekolah Antarabangsa yang hanya dihadiri anak-anak golongan menengah dan kaya di bandaraya (dan setentunya mempunyai pembahagian etnik yang tidak seimbang). Ini tidak termasuk lagi Sekolah Agama Rakyat dan berbagai jenis lagi.

Lapisan ketiga pula memperlihatkan segregasi yang lebih kompleks lagi. Walaupun sistem sekolah menengah kebangsaan disatukan dibawah medium Bahasa Melayu segregasi berasaskan kaum menjadi lebih kuat lagi. SMK yang dihadiri majoriti, diikuti oleh SBP dan MRSM (dan variasi-variasi yang sewaktu dengannya), termasuklah sekolah-sekolah Cina dan Inggeris yang dimelayukan, dan juga sekolah-sekolah swasta seperti Chinese Independent School dan juga sesetengah sekolah berasaskan agama yang ingin mengekalkan identiti keagamaannya. Di sinilah, segregasi kaum dimantapkan dengan sungguh kuat sekali di mana tiada jalan berbalik mampu mengatasinya.

Lapisan keempat, ataupun lapisan yang paling sensitif iaitu pendidikan tinggi, memperlihatkan segregasi yang lebih hebat lagi. Dengan pelajar kaum Cina, (maafkan saya atas generalisasi. Saya tidak memaksudkan semua.) yang rata-rata kelas menengah lebih tertarik kepada institusi swasta kerana imej, kualiti dan prestij yang diperoleh. Yang berkemampuan pula cenderung untuk menghantar anak-anak mereka untuk ke universiti terkemuka di luar negara, dengan sanggup menjual harta benda untuk sekeping ijazah di luar negara. Ada yang tidak sama sekali memikirkan langsung kebarangkalian untuk memohon memasuki universiti awam? Mengapa halnya demikian?

Satu sebab mungkin adalah imej dan penjenamaan. Universiti Limkokwing memperlihatkan imej yang cool, canggih dan sofistikated. Begitu juga institusi swasta lain yang mencelup nama luar negara ('international' lah kononnya, Malaysia ni local sangat.). Hubungan rapat antara pengusaha universiti dengan majikan industri menyebabkan graduan IPTS mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan. Pencelupan dan koordinasi dengan universiti luar negara dalam program berkembar dan quality control seolah-olah memberi satu prestij kepada IPTS.

Ketidakupayaan universiti awam untuk menjadi dinamik dan pragmatik untuk menarik pelajar terbaik negara menyebabkan universiti tersebut gagal menarik minda yang terbaik dari golongan muda untuk menuntut di universiti awam. Biasiswa undergraduate luar negara banyak diberikan, ditambah pula dengan biasiswa ASEAN-Singapura telah mengalirkan bakat tempatan ke universiti-universiti luar.

Contoh yang paling simple ialah kecenderungan universiti tempatan menamakan institusinya secara tidak glamour. Nama-nama macam KUTPM, KUSTEM, KUKTEM dan berbagai-bagai akronim IPTA sangat panjang dan tidak sedap didengar. Saya mencadangkan agar Jawatankuasa Memilih Nama Sedap ditubuhkan dalam Kementerian Pelajaran Tinggi. Susah sangatke namakan IPT tempatan dengan nama Kajang University atau University of Gombak, barulah authentic sikit.

Balik kepada topik. Pelajar-pelajar Melayu pula lebih cenderung kepada IPTA kerana IPTA lebih Malay student-friendly. Kemasukan yang lebih mudah, sistem kemasukan yang lebih terbuka, suasana universiti yang lebih bercorakkan budaya kemelayuan, merupakan faktor penarik kepada pelajar-pelajar Melayu. Meskipun bilangan pelajar bukan Melayu agak signifikan, segregasi kaum akibat sistem persekolahan menular ke dalam IPTA dan IPTS.

Soal pembiayaan tidak menjadi isu kerana semua siswa mempunyai peluang yang tinggi untuk mendapat pinjaman di IPTA dan IPTS. Jadi faktor kewangan tidak seharusnya menjadi faktor utama ketidakseimbangan etnik di IPTA dan IPTS.

Golongan ketiga pula adalah golongan lulusan pelajar sekolah Cina swasta yang satu ketika dahulu mempunyai mentaliti bahawa "suatu hari nanti China akan menguasai dunia". Hahaha. Doa mereka dimakbulkan, tetapi malang sekali beribu-ribu rakyat China sekarang berebut untuk belajar Bahasa Inggeris untuk keluar dari kepompong kemunduran. Golongan ini menyembah sistem pendidikan di Taiwan, Hong Kong dan China.

Golongan keempat adalah golongan yang desperate untuk menjadi doktor. Seolah-olah dunia ini dipenuhi dengan ubat-ubatan dan penyakit-penyakit sahaja. Berpusu-pusu merayap ke serata dunia untuk mencari peluang belajar perubatan, dari Jepun hinggalah ke Czechoslovakia (satu pusingan dunia). Golongan ini berpendapat, kalau jadi doktor, takpayahlah susah susah pergi interview kerja, gerenti dapat kerja, orang respect, senang cari isteri, mas kahwin mahal sikit etc. etc. Golongan ini pun dibayangi pembahagian secara kaum, kaum yang mempunyai taraf sosioekonomi tinggi memilih negara Barat, yang mempunyai bantuan kerajaan pergi Jepun, Eropah, yang sederhana memilih India, Indonesia, Russia, China, Taiwan, yang desperate pergilah Ukraine, Czech, Mesir dbsg.

Satu lagi golongan yang sering dipinggirkan daripada agenda nasional ialah pribumi Sabah dan Sarawak. Sekadar memberi UMS di negeri itu, dan memberi beberapa kerat biasiswa kepada mereka seolah-olah memperlihatkan tiada kesungguhan politik dalam meningkatkan sosioekonomi mereka. Akibatnya, terpinggirlah mereka daripada peluang-peluang pendidikan di ibu negara mahupun ke luar negara. Balik-balik belajar kat Kota Kinabalu dan Kuching sahaja. Mereka patut diberi peluang yang lebih untuk menikmati kepelbagaian pilihan pendidikan yang ada seperti orang-orang di semenanjung. Akibat tersekatnya peluang ini, integrasi Semenanjung dengan Malaysia Timur seolah-olah mimpi di siang hari.

Golongan-golongan lain termasuklah anak-anak duta, peniaga, korporat, mahasiswa luar negara yang disekolahkan di luar negara, dan kembali semula ke tanah air. Keupayaan untuk ke luar negara mencerminkan taraf sosioekonomi secara tidak langsung. Apabila taraf sosioekonomi dipertimbangkan, maka ketidakseimbangan kaum akan berlaku lagi.

Itulah warna-warni kehidupan Malaysia dari segi PENDIDIKAN.
PENDIDIKAN mencerminkan taraf sosioekonomi.
TARAF sosioekonomi mencerminkan kaum.
KAUM mencerminkan agama.

Sampai bilakah stereotaip pendidikan, ekonomi, kaum dan agama akan berterusan?
Saya tidak tahu.

Apa kaitannya pula semua ini dengan Bahasa Melayu? Nantikan blog saya yang seterusnya...

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih kerana sudi melawat laman blog saya. Sudi berkenalan supaya diriku yang jahil ini boleh belajar daripadamu?

Bagaimana saudara dapat mencari laman blog saya?

keropok lekor said...

hoho, hamba tidaklah berilmu sebanyak mana, cuma yang dikutip sedikit sini sana untuk dimasukkan dalam blog ini.

Saya jumpa laman blog tuanhamba melalui blog orang lain. Pendapat dan pemikiran tuanhamba agak radikal tetapi rasional, saya suka melihat post saudara, dan terutamanya manifesto perjuangan saudara. lol.

Saya kini belajar di Auckland, first year, dan ya, baru berjinak-jinak dengan kepelbagaian ilmu dan pengalaman dalam dunia ini. Sila tunjuk ajar.