Friday, June 30, 2006

Krisis Bahasa Melayu di kalangan bukan Melayu

Saya ingin mengambil idea Dr. Mahathir dalam ucapannya kepada pelajar-pelajar UTP tempoh hari bahawa sehinggalah Kaum Melayu mencapai kejayaan dan kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa, sehingga itulah Bangsa Malaysia sukar untuk diwujudkan. Saya fikir ada banyak logik dan ketajaman pendapat yang dikeluarkan oleh Dr. Mahathir tersebut.

Begitu jugalah dengan Bahasa Melayu agaknya. Perbualan dengan rakan saya tempoh hari berkisar tentang topik ini dan dia menyatakan sesuatu yang sangat menarik sekali. Sekiranya Bahasa Melayu menjadi bahasa yang antarabangsa, bahasa yang mempunyai nilai ekonomi, bahasa yang menguasai sains dan teknologi, bahasa yang menguasai dunia perniagaan, maka orang akan berpusu-pusu belajar Bahasa Melayu dan universiti-universiti awam dalam medium BM akan menjadi rebutan.

Namun hakikatnya, ini tidak berlaku pada masa sekarang. Polarisasi kaum di tambah pula dengan ketidakupayaan minoriti bukan Melayu untuk berkongsi persamaan dengan orang-orang Melayu dari banyak segi menyebabkan bukan Melayu tidak mempunyai satu insentif untuk mempelajarinya, jauh sekali untuk menggunakannya. Sebagai contoh, sekiranya Ah Chong belajar di SRJK C, Ah Chong mungkin tidak pernah berjumpa dengan mana-mana sahabat Melayu di sekolah kecuali guru-guru Bahasa Melayu di sepanjang 6 tahun persekolahan. Ah Chong mungkin hanya menguasai BM secara asas sahaja.

Ditambah pula dengan kawasan tempat tinggal Ah Chong yang dikelilingi jiran tetangga Cina kelas menengah di Taman Perumahan yang mewah di ibukota, pertembungan Ah Chong dengan BM adalah terhad, mungkin kepada pembantu rumah Indonesia dan kerja rumah sahaja. Keluarga Ah Chong akan bersahabat dengan keluarga Cina yang lain, menyertai pertubuhan sosial Cina dan aktiviti masyarakat Cina, dan membincangkan isu-isu yang hanya berkait rapat dengan kecinaan. Prejudis perkauman mungkin akan diturunkan kepada Ah Chong melalui perbualan keluarga Ah Chong sehari-hari, mengurangkan perasaan hormat Ah Chong kepada Bahasa Melayu. Mungkin disebabkan faktor ekonomi dan prospek masa hadapan, Ah Chong besar kemungkinan akan disuruh dan digalakkan untuk menguasai Bahasa Inggeris sejak kecil. Tetapi Ah Chong tidak akan digalakkan untuk belajar Bahassa Melayu, malah Ah Chong mungkin disuruh supaya bercakap dengan pembantu rumah dalam Bahasa Inggeris!

Apabila melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, Ah Chong kini mempunyai jaringan sahabat dari SRJK yang rata-ratanya Cina. Secara natural Ah Chong setentunya akan bersahabat dengan rakan-rakan Cina di sekolah walaupun SMK mempunyai komposisi kaum yang lebih seimbang. Dalam perbualan sosial, Ah Chong akan menggunakan bahasa Cina dan Inggeris. Ah Chong tidak mempunyai insentif untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar Melayu ataupun untuk bertutur dalam bahasa Melayu dalam interaksi sosial. Apabila ditegur oleh guru-guru Bahasa Melayu, Ah Chong memberi alasan "Saya tidak begitu fasih dalam BM" dan Ah Chong akan dimaafkan. Oleh kerana banyak daripada pelajar-pelajar Melayu yang sebaya dengan Ah Chong telah ditawarkan ke MRSM dan Sekolah-sekolah Berasrama Penuh, kelas Ah Chong mempunyai majoriti pelajar bukan Melayu, dan ini mengurangkan lagi peluang Ah Chong untuk bertembung dengan Bahasa Melayu.

Ah Chong mungkin akan dihantar ke kelas tuisyen untuk subjek Bahasa Melayu. Tetapi ibubapa Ah Chong mempunyai kenalan seorang guru tuisyen kaum Cina yang mengajar subjek Bahasa Melayu, kerana ibubapa Ah Chong sendiri mempunyai jaringan kenalan Melayu yang sangat sedikit. Meskipun Ah Chong belajar Bahasa Melayu daripada guru tersebut, tetapi interaksi dalam BM amatlah sedikit kerana guru tersebut akan menerangkan subjek tersebut dalam bahasa Inggeris dan Cina. Ah Chong mungkin akan bermain permainan komputer. Tetapi disebabkan permainan komputer tersebut dalam Bahasa Inggeris / Jepun, Ah Chong tidak bertembung dengan Bahasa Melayu. Ah Chong juga sangat jarang menonton TV1, TV2 dan TV3, kerana mempunyai siaran ASTRO Wah Loi Toi. Ah Chong tidak kenal Siti Norhaliza kerana sering melihat konsert Jay Chou dan artis artis Cina di TV. Dengan kewujudan MTV, Ah Chong juga akan berjinak-jinak dengan musik Inggeris, tetapi tidak tahu menahu tentang artis Melayu, apatah lagi untuk mengenal P Ramlee.

Ah Chong juga terkejut kerana kenalan-kenalan Ah Chong di kalangan orang Melayu (yang sedikit) tidak pula meminati hiburan-hiburan Melayu tetapi meminati lagu-lagu dan drama Jepun, Korea, Bollywood dan sebagainya. Ah Chong juga tidak tahu menahu tentang hubungan Siti Norhaliza dengan Datuk K, yang akan berkahwin kerana Ah Chong jarang membaca sebarang akhbar Melayu, kecuali akhbar percuma yang disumbang oleh Utusan Melayu sekali-sekala kepada sekolahnya. Walaupun Ah Chong membacanya, Ah Chong tidak faham langsung apa yang dibacanya kerana isu yang dibincangkan adalah isu-isu orang Melayu, yang sama sekali tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan hidup Ah Chong (contoh, isu kahwin misyar, isu Israel-Palestin). Akhbar The Star dan Nanyang SiangPau yang dilanggan oleh bapa Ah Chong pula tidak memaparkan isu orang Melayu secara khusus dan lebih menumpukan hal-ehwal bukan Melayu, maka Ah Chong mempunyai pendapat seolah-olah isu-isu nasional hanyalah tertumpu kepada kaum bukan Melayu di Lembah Kelang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, bukannya di Kota Bharu, Gua Musang, Kampung Baru, Permatang Pauh, Sungai Siput dsbg. Baginya, Kota Bharu itu seolah-olah hutan yang didiami oleh orang-orang yang pelik.

Ah Chong juga jarang sekali makan di warung-warung. Makanan Melayu baginya hanyalah terdapat di restoran-restoran Mamak yang pedas, yang itupun sekali sekala apabila bapanya membawanya untuk supper apabila ada perlawanan bola sepak. Masa itu pun dia hanya akan memesan roti telur dan teh tarik kurang manis sebab itu sahaja menu yang diketahuinya. Biasanya Ah Chong akan dibawa ke restoran Cina dan restoran-restoran makanan segera. Ah Chong tidak pernah merasai sup bunjut kerana dia tidak menonton siaran iklan Adabi (ingat dia hanya menonton Astro!).

Apabila Ah Chong mendapat B4 dalam matapelajaran BM dan Biologi dalam Percubaan SPM. Bapanya sungguh marah terhadap Ah Chong. Katanya, "B4 Biologi macammana nak jadi doktor?". Tetapi bagi BM, bapanya kata "Bolehlah dimaafkan". Oleh itu, Ah Chong tidak begitu menumpukan usaha untuk memperbaiki BMnya dan akhirnya hanyalah mendapat B3 dalam SPM BM dan A1 untuk Biologinya. Dengan keputusan yang cemerlang, Ah Chong mula mempertimbangkan di mana dia ingin melanjutkan pelajaran.

Dia langsung tidak memohon untuk memasuki Matrikulasi Kerajaan, malah tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Dia juga tidak mahu belajar di Tingkatan6 kerana kata bapanya, guru di sekolah tidak berkualiti. Dia pun memohonlah untuk belajar A-levels di kolej-kolej swasta bersama rakan-rakan bukan Melayu yang lain. Rakan-rakan Melayu di sekolahnya masa itu masih menunggu keputusan Matrikulasi ataupun biasiswa JPA/MARA. Di kolejnya, dia bergaul dengan rakan bukan Melayu dan tidak sekalipun bertembung dengan Bahasa Melayu dalam pelajaran mahupun kehidupan sosial. Dia mengira-ngira kemampuan bapanya untuk menghantarnya ke program perkembar Pengurusan Perniagaan dengan Universiti Monash di Australia, kerana bapanya tidak mampu untuk membiayai kos keseluruhan di situ. Dia bercita-cita agar satu hari dia dapat berhijrah ke Australia dan bekerja di situ, kerana ramai di kalangan kenalannya berbuat demikian. Dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Bahasa Melayu, identiti Melayu, kebudayaan Melayu dan semangat nasionalisme Melayu. Dia hanyalah mengetahu dia merupakan seorang rakyat Malaysia kelas menengah yang bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Cina, dan tinggal di Lembah Kelang, dan bercita-cita besar untuk membina kerjaya di negeri orang.

Itulah situasi yang menjadi kelaziman meskipun ada sesetengah contoh dilebih-lebihkan. Ini contoh semata-mata.

Apakah yang boleh kita simpulkan melalui hidup dan pengalaman Ah Chong?

Senaraikan faktor yang menyebabkan krisis kedudukan Bahasa Melayu di kalangan Bukan Melayu?

6 comments:

LX said...

Contoh yang dikemukan oleh saudara pengarang memang sesuatu yang tidak dihairankan. Inilah situasi sebenar era ini.

Namun, saya agak bangga untuk mengatakan bahawa zaman kanak-kanak saya bukanlah seperti Ah Chong. Ayah saya melangan Utusan Malaysia dan saya didedahkan kepada pelbagai isu yang tampaknya sangat memihak kepada orang Melayu semata-mata. Saya turut pernah meminati penyanyi-penyanyi Melaya sehingga tergila-gilakan rancangan, majalah dan album mereka.

Saya hanya perlahan-perlahan bertukar menjadi 'Ah Chong' apabila menjelang remaja-hood.

Phew that was hard!

keropok lekor said...

Bagus bagus! hehehe. Was my description of Ah Chong too hard?

ayjk said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Goh Wei Liang said...

Masalah Polarisasi Kaum Bagaikan Tiada Garisan Penamat , seperti Dinasti dan DNA


Sekiranya kita rajin membaca sejarah , kita pasti dapat memahami faktor – faktor polarisasi . Namun , ketekunan mengaji sejarah tidak akan menjamin kefahaman ‘human behavior’ di Malaysia .


Izinkan hamba memberi analysis yang dipercayai pencetus isu perkauman .


Isu perkauman ini telah mula sejak pemerintahan British . Dasar pecah dan perintah British berlaku bukan kerana British ingin membuat demikian pada awalnya .

Apabila British datang dan menjajah ataupun menaung kita , masyarakat sendiri telah pun pecah mengikut kaum . Orang Cina bersifat materialistik dan menggilakan wang , harta , kekayaan , kenamaan … apa-apa sahaja yang Tuan – tuan dan Puan – puan dapat fikir dan namakan . Orang Cina telah lama bermastautin di pekan – pekan , bandar dan sebagainya dan terlibat dalam perniagaan , persatuan . Pergaduhan pun orang Cina rajin melibatkan diri dahulu .


Orang Melayu bumiputera pula dilihat British sebagai orang yang ‘contented’ . Sifat orang Melayu pada pra – British dan semasa pemerintahannya telah dikatakan sebagai masyarakat yang cukup puas sekiranya dapat hasil laut dan mengisi perut . Inilah yang dikatakan sebagai menikmati kehidupan .


Memang benar kehidupan patut dinikmati kerana nyawa yang diberi oleh Tuhan merupakan keajaiban yang menakjubkan dan harus dinikmati .


Orang India pula dilihat sebagai pengusaha ladang getah . Mereka pula hidup di ladang – ladang , estet – estet .


Apabila British datang , British nampak kaum – kaum di Malaya dah pun berpecah sendiri . Ada kaum yang hidup di bandar , ada pula di tepi pantai , dan yang lain di estet – estet . British pun tidak ingin perpaduan kerana bimbang mereka akan ditentang . Maka , British meneruskan polisi pemerintahan seperti sedia kala dengan cara yang Kerajaan Malaysia hari ini klasifikasikan sebagai Pecah Dan Perintah .


Sejak itu , memang benar ada berlaku pemodenan , perpaduan dan kemerdekaan . Kita dapat lihat kemajuan di kalangan beberapa kaum , pergaulan , perkahwinan campur dan sebagainya .


Nak kata Ah Chong salah pun bukan , nak kata orang Cina salah pun tidak . Nak tuduh Kerajaan Malaysia bersifat berat sebelah pun tidak berasas .


Bermula daripada ibu bapanya , mereka orang pra kemerdekaan . Sudah tentulah mentaliti mereka juga bersifat perkauman . Kita tidak boleh salahkan mereka . Memang benar ada orang dewasa yang tidak bersifat perkauman , namun sudah pasti ada golongan besar yang masih berpendapat bahawa orang Cina lebih agung dan hebat , orang Cina sekarang ini dipijak oleh kaum Melayu semuanya kerana Tongkat Melayu ala Mahathir . Kemudian apabila baby Chong dilahirkan , ibu bapanya mengasuhnya , mendidiknya dan mengajarnya pelbagai isu dalam kehidupan . Issues of life ini boleh dikatakan sebagai brainwash (teknik informal education) . Kemudiannya , pendidikan Ah Chong sudah pastilah terletak dalam tenaga pengajar Sekolah – sekolah Cina , persatuan – persatuan Cina .


Apabila Ah Chong dewasa kelak , Ah Chong pula akan berkahwin dengan Ah Moi . Dan Ah Moi pula akan memberikan anak mata yang bernama Ah Kau kepada Ah Chong . Proses ini berlangsung seperti kitaran yang tiada garisan penamat . Ah Kau pula akan dididik dan mindanya dibasuh bersih dengan Klorox Cina sebagaimana ibu bapa Ah Chong memberitahunya .


Sentimen perkauman ini berlaku macam dinasti di Cina , Italy , Brunei , Siam . Tidak ada garisan penamat . Sifat perkauman bagaikan DNA yang berterusan selama – lamanya dari satu generasi ke generasi seterusnya .


Memang benarlah kata Tun Dr Mahathir . Bangsa Malaysia tidak akan tercapai selagi kaum Melayu tak maju dan berada di pentas dunia . Misi dan visi Tunku Abdul Rahman dan ahli UMNO adalah untuk melihat kemajuan kaum majoriti . Kesombongan Lee Kuan Yew dan sifatnya yang anti Melayu , pro Cina itu juga faktor Singapura disingkir daripada gabungan Malaysia . Tunku sedar majoriti orang Melayu berada di belakang dan tidak semaju orang Cina yang telah lama melabur peluh , darah dan harta dalam bidang perniagaan dan ekonomi .


Bagi saya , memang patutlah bantuan diberikan kepada orang – orang Melayu kerana edisi May 13 pula akan disiarkan sekali lagi di RTM , TV3 dan Astro . Tetapi mungkin kali ini lebih heboh kerana adanya CNN . Walaupun bantuan dan tongkat Melayu diberikan , sayang sekali ada sebilangan orang Melayu yang tidak bersyukur kepada Dr Mahathir (perintis Tongkat Melayu) . Malah , ada di kalangan mereka yang menentang Dr Mahathir , bersikap ‘take for granted’ , masih mengharapkan bantuan tanpa membuat apa – apa . Dr Mahathir sedar dan selalu memarahi kaumnya supaya bangun dan sedar di setiap perjumpaan agung UMNO . Saya gembira kerana ada ramai orang Melayu yang menggunakan peluang bantuan kerajaan dengan baik dan telah maju dan membangun . Namun ramai masih lagi yang berpendapat bahawa kerajaan akan terus memberi mereka gula , tepung dan susu untuk selama – lamanya . Itulah yang membawa kepada kata – kata dan kesedihan Tun Dr Mahathir iaitu beliau telah gagal selama 22 tahun dan beliau masih sedih akan sikap sesetengah orang Melayu dan gembira untuk mereka yang telah berjaya .


Apalah daya kita untuk mengatasi isu perkauman . Apa yang kita boleh lakukan cuma berdoa untuk kejayaan diri dan semua , mengharapkan kaum Melayu , Cina dan India membangun bersama – sama demi bangsa dan negara . Mentaliti kaum bukan Melayu juga perlulah berubah dan memahami motif kerajaan . Bergaul bersama – sama tidak akan membawa kerugian . Malah sikap dan emosi yang muhibah akan menyatukan rakyat Malaysia . Maka para pembaca komen saya ini , percayalah dan berusahalah .

Ikhlas ,

Manifestogwl

keropok lekor said...

Saya bersetuju dengan pendapat saudara bahawa kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam isu ini kerana ia merupakan implikasi sejarah negara kita. Tetapi mensyaitankan (demonise) British sebagai menyebab polarisasi kaum ialah sikap kerajaan yang gemar 'blame' Barat. Ya dasar pecah dan perintah berlaku, tetapi saya menolak teori yang menyatakan Brtish melakukannya kerana ingin mengelak perpaduan. British melakukannya semata-mata ingin mengekalkan status quo untuk memudahkan pentadbiran kerana sebelum British lagi, ada pentadbiran sosial bagi setiap kaum (sistem kangcu oleh Maharaja Johor, sistem feudalism Melayu Melaka, sistem estet India).

Tetapi apa yang saya tidak puas hati ialah kewujudan sistem dasar 'pecah dan perintah' pasca-kemerdekaan. Saya percaya kewujudan sekolah-sekolah vernakular ialah sebab utama polarisasi ini. Dan kerajaan tidak membuat tindakan yang tegas untuk mengukuhkan sekolah kebangsaan, sehingga membuat orang Cina naik kepala. Saya rasa kerajaan patut menimbangkan untuk membuat proses menukar sekolah vernakular kepada sekolah kebangsaan secara berperingkat mulai sekarang hingga 2020.

'Affirmative action' melalui DEB memang patut dijustifikasikan, tetapi pengisiannya saya rasa perlulah diselia dengan baik supaya peningkatan sosioekonomi kaum Melayu tidak akan menjejaskan polarisasi kaum dan perpaduan. Pewujudan institusi berasaskan kaum terutamanya SBP, MRSM, Matrikulasi perlulah difikirkan semula dari segi implikasinya terhadap perpaduan sosial. Mungkin satu mekanisma perlu diwujudkan supaya peningkatan pencapaian akademik pelajar Melayu di institusi kebangsaan (pelbagai kaum) dapat dicapai tanpa perlu mewujudkan institusi eksklusif.

Isu perkauman tidak dinafikan merupakan fenomena global. Tetapi ini tidak bermakna kita perlu mendiamkan diri dan meneruskan status quo kerana segregasi kaum adalah racun kepada masa depan negara. Saya rasa ia dapat ditangani jika kerajaan komited untuk mempromosikan konsep perpaduan dan "Bangsa Malaysia", dalam segenap lapisan masyarakat, dan mengambil langkah-langkah konkrit dan terancang untuk menghapuskan jurang perbezaan (ekonomi, bahasa, politik, pendidikan, sosial) melalui pelbagai jabatan kerajaan dan parti politik (bukannya hanya dicampakkan kepada Dr.Maximus seorang untuk menguruskannya, perlukan penglibatan semua). A political will is needed to move things, not empty rhetorics.

Anonymous said...

Unfair presentation of Chinese!

It isn't "too hard". It's ridiculously biased and just shows that you have prejudice views about Chinese.

I am not going to point out where and what, you go figure out yourself.

lynnx01, what there to be proud about your childhood? Are you any better? The only difference you mentioned between you and your "typical" Ah Chong is that you read biased news that promotes Malay Supremacy and "meminati penyanyi-penyanyi Melaya sehingga tergila-gilakan rancangan, majalah dan album mereka." Just because you listen to meaningless pop culture music sang in another language doesn't make you understand them any better than any of the others. Just like me listening to bollywood music doesn't makes me more a Mutu...

And ayjk, who in the hell are you to judge others? Ppl like you just makes me sick. Ooh, so you know a lot of "Ah Chongs". From that statement I know that you like to "catogorise" people. It's people like you that discrimination exist in the world in the 1st place. Who are you to judge the way they want to live their lives or how their parents want to educate their children? What have you done to on this matter? Or do you think "aiya, all chinese like that one la, they can't be help, they are born to belittle Malay language. I'm different, I am better than those ignorant idiots, I am a true Malaysian because I can speak better Malay..."

And you know what? I wonder if I'll get any responses at all if I write something about "Krisis Bahasa Cina/Tamil" di kalangan Melayu. (No need to include English, that is a well-known crisis, just go to any govt uni to experience that) Just another case of victims to Malays Supremacy in Malaysia.