Thursday, March 20, 2008

Saya Sokong Perdana Menteri

Walaupun saya kurang bersetuju terhadap falsafah dan perjuangan golongan Tua BN yang terus mempergunakan sentimen perkauman, mengongkong kebebasan bersuara dan demokrasi, serta mempunyai pemimpin-pemimpin yang kurang cerdik, ketinggalan zaman dan tiada kredibiliti, saya berpendapat bahawa peti undi baru-baru ini telah mengekspresikan ketidakpuashatian rakyat.

Kini, marilah kita memberi sokongan padu kita kepada pemimpin-pemimpin yang dipilih bersama oleh rakyat dan Raja-raja Melayu ke arah menjalankan mandat mereka untuk membawa negara kita ke masa depan yang lebih makmur, aman, adil, inklusif, progresif dan bersatu-padu.

Marilah kita saling memaafkan zahir dan batin, dan percakaran politik diketepikan. Dikotomi dualisme Kerajaan-Pembangkang ciptaan falsafah Plato kita buangkan sejauh-jauhnya. Usahlah kita terus dengan retorik kita untuk mengkritik, menunding jari, menfitnah dan menjatuhkan satu sama lain kerana itu bukan budaya kita dan bertentangan dengan ajaran Tuhan.

Marilah kita menyokong dengan bersatu padu, pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Pak Lah, Lim Guan Eng, Nik Aziz, Isa, Nazir Jamaluddin dan lain-lain lagi meskipun kita berlainan pendapat dan ideologi.

Tidak guna bising sini sana untuk menjatuhkan satu sama lain, kerana agenda rakyat untuk membasmi kemiskinan, mendidik anak-anak bangsa, menjamin kemakmuran ekonomi dan memperjuangkan keadilan dan syiar agama dan moral perlu diteruskan.

Terdapat lima golongan yang kelihatan menolak kepimpinan baru ini:

a) Golongan Liberal Demokratik anjuran PKR dan DAP yang tidak putus-putus mencari salah dan silap PM, dan menuduh kerajaan dengan melampau untuk kepentingan politik mereka.

b) Golongan Puritan anjuran PAS yang skeptikal terhadap gagasan Islam Hadhari dan tuduhan moral terhadap sistem pemerintahan yang kelihatan kurang Islamik.

c) Golongan Pro-Mahathir yang tidak puas hati kerana Pak Lah tidak meneruskan aspirasi Tun Mahathir dan mempunyai pendekatan yang berbeza dalam politik, seperti pembatalan projek Jambatan Bengkok, isu Proton dan sebagainya.

d) Golongan Chauvinist Majoriti yang tidak puas hati kerana Pak Lah nampaknya seorang yang sudi mendengar, adil dan bertolak ansur kepada permintaan MCA dan MIC. Golongan chauvinist ini berasa gusar terhadap kepentingan kaum majoriti berikutan kemenangan pihak pembangkang, dan berharap agar Pak Lah mengambil pendekatan yang lebih tegas untuk memperkukuhkan kepentingan mereka.

e) Golongan Chauvinist Minoriti anjuran puak-puak seperti HINDRAF dan aktivis kaum, yang tidak puas hati dengan kerajaan secara umum yang diwarisi daripada legasi Tun Mahathir. Mereka tidak sedar bahawa Pak Lah telahpun memberi layanan yang sangat baik terhadap mereka jika dibandingkan kepada PM yang lepas. PM telahpun membuat pelbagai perubahan dasar untuk membantu kaum minoriti, sehingga menimbulkan kegusaran golongan chauvinist majoriti.

Namun begitu, saya masih yakin bahawa Pak Lah merupakan seorang yang ikhlas terhadap janji-janjinya. Janji-janjinya untuk menjadi Perdana Menteri yang adil kepada semua, berintegriti dalam membasmi rasuah, gigih membasmi kemiskinan, pragmatik dalam menerokai pembangunan dan kemakmuran ekonomi, dan jujur dalam menegakkan nilai-nilai Islam dan moral, serta kebebasan beragama dalam masyarakat berbilang agama.

Janji-janji ini saya harap akan terus ditunaikan meskipun tekanan daripada kelima-lima puak penentang beliau seperti di atas akan terus cuba memperlekehkan usaha beliau. Namun, pejuang yang ikhlas adalah pejuang yang sanggup dan setia meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Perubahan perlu dibuat dengan drastik untuk keluar daripada kepompong pemikiran golongan Tua yang tidak lagi seiring dengan golongan muda.

Saya doakan kesejahteraan, keberkatan dan kebijaksanaan dianugerahi Tuhan sepanjang perkhidmatan beliau.

Saya sokong Pak Lah.

No comments: