"DAP seharusnya berusaha untuk membina keyakinan rakyat yang bakal ditadbirnya bahawa mereka itu people oriented, dan bukannya party oriented. Mereka harus memenangi hati pengundi yang telah mengundi mereka. Sebagaimana ramai kaum Cina dan India mengundi PAS dan PKR, DAP juga harus sedar bahawa generasi Melayu 2008 ramai yang terbuka untuk mengundi mereka, dengan kepercayaan bahawa DAP sudah 39 tahun lebih dewasa dari 1969.
Apakah DAP tidak terfikir, bahawa sikap mereka di Pulau Pinang yang tergesa-gesa menghapuskan DEB, mempengaruhi pula imej mereka di Perak? Apakah DEB itu yang menjadi masalah teragung di Pulau Pinang hingga tanpa menanti 24 jam, itu yang segera dicanangkan? Tiadakah sebarang usaha untuk membina imej yang boleh dipercayai oleh rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang dan Perak?...
Apabila berada di posisi kuasa, PAS terpaksa menerima hakikat yang DAP tidak dapat mencari titik temu kepada pertembungan ideologi mereka, lantas DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001. Ia bukan hanya menjadi isu DAP, malah PAS sendiri terus belajar dan mengkaji.
Islamism, terma yang diguna pakai oleh penulis Barat untuk merujuk kepada ideologi politik Islam, telah melalui fasa yang pelbagai. Pengalaman FIS di Algeria, Ikhwan di Mesir, begitu juga dengan Refah hingga ke Saadet dan AKP di Turki, memperlihatkan betapa dinamiknya Islam yang menjadi teras perjuangan parti politik Islam ini.
Apakah DAP sebagai sebuah parti yang bercita-cita untuk berkuasa di sebuah negara majmuk ini mengkaji dan peduli kepada perkembangan idea Islamism? Apakah DAP belajar tentang asas dinamiknya AKP Turki hingga berjaya memenuhi segala ketetapan Kesatuan Eropah dalam soal demokrasi dan hak asasi manusia, tanpa tercabut akar Islam mereka?
Saya lihat, hanya dua kelompok sahaja yang gagal belajar iaitu golongan sekularis pelampau di Turki, dan hari ini Lim Kit Siang membuktikannya di Perak.
Beliau gagal membaca perubahan besar yang berlaku di dalam PAS. Beliau gagal melihat betapa banjiran golongan profesional dan ulama kontemporari yang mewarnai rentak semasa PAS, telah membawa PAS ke suatu tahap yang amat baru tetapi semakin menepati realiti Malaysia. Jika PAS sudah belajar dan membesar dewasa, apakah Lim Kit Siang mahu membuktikan sebaliknya untuk DAP?
SIFIR TIDAK PERNAH BERUBAH
Jika Lim Kit Siang dan DAP membawa sikap yang sama seperti BN, pada keangkuhan dan self centered yang pekat itu, sifir yang menimpa BN tidak akan pergi jauh dari DAP.
Tuhan akan menghukum DAP dengan kuasa rakyat yang lebih cintakan tanah air ini daripada politik kepartian yang sempit tanpa rasional.
Blog Lim Kit Siang yang memaparkan pendiriannya untuk memboikot Majlis Mengangkat Sumpah 13 Mac 2008, telah dibantah oleh majoriti pemberi komen yang kebanyakannya terdiri daripada penyokong DAP sendiri. Ia sudah menjadi suatu permulaan yang tidak baik.
Kegagalan DAP tidak berpunca dari PAS, PKR, Undang-undang Tubuh Negeri, hatta Sultan dan DEB. Tetapi ia berpunca dari kegagalan DAP sendiri. Kegagalannya untuk berkomunasi secara baik dengan realiti Malaysia yang jauh dari intepretasi sempit yang masih dipertahankan."
-- Saiful Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
No comments:
Post a Comment