Sunday, March 16, 2008

Remembering Usman Awang

Adikku,
Bumi kita terasa gersang
Gelanggang seni sunyi dan usang
Pena tua patah dan tintanya tumpah
Tiada lagi pemuisi dan pencipta agung
Tiada pewaris kepada Usman dan P Ramlee
Yang tinggal A Samad Said seorang
A Samad Ismail terlantar di ranjang.

Di mana kan kucari ganti
Usman Awang dan P Ramlee
Dan insan-insan segenerasi mereka
Yang tajam penanya
Yang halus bahasanya
Yang indah gurindamnya
Dan lunak merdu suaranya?

Usman aku panggil dia abang
Dialah penyair dialah pejuang
Kepada yang mengenalinya
Dialah kekasih malam dan siang
Dia romantis dia humanis
Jiwanya sentiasa gelora
Hatinya sentiasa berduka
Kerana dunia yang diimpikannya
Terlalu ideal dan sempurna
Sedang realiti lain sekali
Dunia penuh pancaroba
Penuh duka dan air mata.

Abang Usman buta warna
Melayu, Cina, India semua serupa
Tiada bangsa, tiada sengketa
Waktu suka ketawa ria
Waktu duka menangis bersama.

Pun dia sudah lama pergi
Yang tinggal menjadi legasi
Hanyalah prosa dan puisi
Yang dipintalnya dari buih-buih
Menjadi tali
Mengikat kita
Pewaris seni
Agar kita juga
Boleh menganyam gelombang dan badai
menjadi hamparan dan tirai
Ranjang tidur anak zaman
Yang dia tinggalkan.

Buatmu adikku di perantauan
Dan teman-teman sekalian
Biarlah dalam hatimu ada lagu
Dalam jiwamu suara nan merdu
Menyanyikan lagu kemanusiaan
Ranjang tidur sekalian insan.

-Abang Malaya-

More on Usman Awang
The People's Poet
Laman Sajak Usman Awang
Rereading Usman's Poems
Bunga Popi

No comments: