Sunday, January 20, 2008

Sejarah


Dalam percutian saya balik ke tanah air, saya sempat melihat adik saya mendaftarkan diri ke Tingkatan 4. Perubahan daripada 7 subjek PMR ke 10 subjek SPM sememangnya memberi cabaran dan juga perubahan yang menarik untuk adik saya, dalam perjalanan hidupnya, dikala dia dalam proses memahami dirinya dan dunia ciptaan Tuhan yang didiaminya.

Saya juga sempat membelek dan membaca buku teks Sejarahnya, yang dalam kurikulum baru yang tidak sempat saya pelajari pada 2003. Melihat kandungannya dan skop cakupan kurikulum tersebut, sedih hati saya kerana adik saya akan hilang peluang untuk memahami Sejarah Dunia dengan segala kegemilangan dan kebobrokan manusia dan tindakan mereka.

Malah, buku teks Tingkatan 4 tidak lagi dipanggil Sejarah Dunia dan hanyalah dipanggil Sejarah. Berbanding dengan kurikulum lama di mana zaman pra-sejarah dan warisan tamadun Hindu-Buddha, kedatangan Islam ke Nusantara, sejarah Tamadun Islam, tamadun-tamadun dunia dan sumbangan-sumbangan mereka, sejarah Eropah, perkembangan dan kesannya kepada dunia, sejarah Imperialisme dan pemikiran Marxisme, Nasionalisme dan beberapa pemikiran utama yang mencorakkan dunia seperti Renaissance, Revolusi Perindustrian, Perang Dunia Pertama dan Kedua, pembentukan Liga Bangsa dan PBB diberi penekanan yang sama banyak, dan telah membuka mata saya dan rakan-rakan sekelas saya tentang bagaimana kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.

Namun sedih sekali, kurikulum sejarah telah dicairkan seperti Teh O kurang manis yang ditambahkan lagi air batu. Ide, fakta dan pemikiran yang dicetuskan dalam buku tersebut tidak lebih daripada suatu ensiklopedia hafalan yang hanya menceritakan sejarah dengan cetek, dan tiada kesinambungan. Di samping itu, penekanan terhadap sejarah dunia telah diubah kepada sejarah tempatan yang ditafsir dengan kacamata dan agenda sempit penggubal kurikulum.

Agenda akademik sesetengah intelek telah diketengahkan dan teori mereka telah dijadikan seolah-olah fakta. Di samping itu, kandungannya seolah-olah mencadangkan semangat nasionalisme, anti-kolonial dan asabiyyah, mensyaitankan sejarawan-sejarawan Barat tanpa memberi komitmen kepada apa yang objektif dan betul-betul berlaku yang dilaporkan oleh sejarawan Barat dan Timur. Sejarah universal dunia telah dibahagikan oleh paradigma sempit penulis, seolah-olah wujud dikotomi antara sejarah Barat dan Timur, dengan penuh kecurigaan dengan apa-apa saja yang dilabelkan Barat.

Sejarah Eropah, dengan perubahan dari Zaman Gelap ke Medieval ke zaman Renaissance, Reformation dan Revolusi Perancis, Komunisme, pembentukan Amerika Syarikat dan ekonomi Barat adalah sejarah yang telah mendominasi dan mencorakkan dunia globalisasi yang kita diami hari ini. Namun begitu, sedih sekali apabila penekanan dan ulasan yang diberi tentang topik ini hanyalah sedikit dan tidak langsung mencabar minda. Jauh daripada membuka minda, pelajar hanyalah disuapkan dengan fakta-fakta yang ditasfir dengan sempit dan akibatnya, wujudlah nasionalisme yang tidak bertempat. Ini hanyalah mengehadkan potensi kita untuk berjaya di pentas antarabangsa dan berinteraksi dengan ilmu luar, yang tidak mengenal Barat mahupun Timur.

Sekiranya anak-anak muda tidak didedahkan kepada ide-ide dan pemikiran yang dicetuskan sejarah Eropah ini dan kaedah-kaedah untuk menilai sejarah dengan kritis dan kreatif, kita tidak akan dapat memahami dunia moden hari ini, bagaikan katak di bawah tempurung. Malah sejarah timur seperti sejarah Tamadun Islam dan China perlulah diulas dengan objektif dan kritis, agar pelajar tidak akan mudah terpengaruh dengan pengulas-pengulas sejarah yang bias dan mempunyai agenda tersendiri tidak mengira golongan nasionalis, imperialis, feminis, agamawi, materialis.

Memetik blog Saiful, "Golongan negarawan (nasionalis) telah menjadikan sejarah sebagai alat untuk membentuk dan mengacu rakyatnya mengikut keperluan, kepentingan dan kehendak negara tersebut. Maka sejarah dalam kerangka nasionalis hanya mahu berusaha mewujudkan rasa cinta, kagum, dan penghargaan rakyat kepada negara. Ia dinamakan patriotisma, lanjutan daripada La Patrie ala Napoleon Bonaparte."

Saya tidak menolak penggunaan pendidikan sejarah untuk menyemaikan patriotisme, tetapi saya berharap agar ia tidak disalahgunakan untuk agenda nasionalisme dan anti-kolonial yang sempit, dan tidak berdasarkan kebenaran, logik dan objektivisme, dan tidak relevan dalam dunia pasca-moden masa kini. Yang pernah dijajah dan menjajah kini ada di mana-mana termasuklah kota London dan Kuala Lumpur dan tidak guna diungkit-ungkitkan untuk membakar perasaan benci yang tidak bertempat. Ramai pesara bekas penjajah yang datang melancong di negara kita dan tidak kurang pelajar kita yang belajar dan berhijrah ke luar negara (sampai tak nak bayar hutang pinjaman pendidikan). Tetapi apa yang relevan adalah pemikiran Imperialisme yang wujud beberapa dekad yang lalu dan iktibar yang boleh dipelajari.

Dengan ribuan pelajar kita yang dihantar ke luar untuk melanjutkan pelajaran, adalah sedih sekali apabila perbualan yang biasa kedengaran oleh pelajar luar negara, berkisar tentang soal lulus pelajaran, wang saku, makanan, minuman dan melancong. Tidak ramai pelajar-pelajar, yang menjadi produk Sejarah KBSM, menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang kritis dan kreatif, yang arif tentang dunia Barat dan Timur yang mereka tumpangi, dan mampu memberi penilaian dan kritikan objektif dan akademik, serta mampu berinteraksi dengan ilmuwan-ilmuwan di kalangan bangsa-bangsa lain.

Sayang sekali jika jutaan wang ringgit yang dilaburkan hanyalah akan melahirkan profesional-profesional yang hanya tahu menganggukkan kepala kepada agenda pihak-pihak yang berkepentingan, mendapat kerja, gaji dan rumahtangga yang stabil, tetapi tidak dapat memahami dunia dan memberi sumbangan yang bermakna kepada dunia yang mereka diami ini.

Kalau hendak melahirkan profesional, ada berlambak-lambak IPTA dan IPTS di mana-mana. Tetapi kalau hendak melahirkan pemikir, perlulah disemak kembali falsafah pendidikan dan kandungan ilmu yang diturunkan kepada anak-anak muda kita, sama ada kita menggalakkan kebebasan akademik dan liberal arts, yang menjadi tunjang kehebatan akademik negara-negara dunia pertama.

Nasi putih dicicah garam,
Ikan masin jadilah lauknya
Bercanggah pendapat itupun haram,
Beroxford cambridge apa gunanya?

2 comments:

ayjk said...

Saudara,

Saya bersetuju dengan isi perbincangan iaitu sukatan pelajaran Sejarah Peradaban Dunia perlulah lebih bersifat objektif dan berunsurkan pemikiran kreatif.

Walau bagaimanapun, dakwaan saudara bahawa kehidupan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara hanya berpaksikan isu-isu remeh mungkin kurang tepat, pada pandangan saya.

Izinkan saya memetik contoh daripada bandar yang kini saya diami. Populasi pelajar Malaysia di bandar ini bukanlah besar sangat, mungkin lebih kurang 700 orang dengan 400 ditaja pihak kerajaan.

Namun, dalam setiap upacara yang dianjurkan oleh pihak kerajaan (seperti lawatan-lawatan personaliti Malaysia ataupun para menteri), para pelajar kita tidak akan segan menghadirinya dan soalan-soalan yang diujarkan cukup bernas.

Umpamanya, tokoh sejarawan Khoo Kay Kim dan wartawan aktivis Karam Singh telah mengadakan lawatan dan soalan-soalan yang diajukan kepada mereka tetap menyentuh perkara-perkara yang mungkin dianggap 'sensitif' oleh sesetengah pihak.

Beberapa minggu yang lalu, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pula telah berucap di Dewan Malaysia. Dalam sesi soal jawab yang telah diadakan setelah itu, pelajar-pelajar cukup berani menampilkan diri untuk menyoal dasar-dasar kerajaan seperti kontroversi pelantikan Ketua Hakim dan isu pembaikan PDRM.

Pada saya, kesanggupan pelajar-pelajar tersebut menyuarakan buah fikiran mereka menjadi bukti bahawa generasi yang akan datang mampu mengambilalih pucuk kepimpinan negara kita.

Sekian

keropok lekor said...

Terima kasih atas teguran saudara. Maafkan saya atas penilaian yang kurang adil tersebut.

Saya menyedari bahawa banyak mahasiswa dan mahasiswi di luar negara yang peka terhadap perkembangan politik dan sosial di tanah air. Contoh yang paling ketara termasuklah saudara Au Yong sendiri, yang mempunyai pemikiran yang tajam dan pengetahuan yang luas.

Saya juga tidak menolak bahawa banyak pelajar yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi, tetapi saya rasa bahawa semangat ingin tahu itu hanyalah sekadar ingin tahu sahaja.

Semangat ingin tahu ini berakhir apabila jawapan diberikan. Tetapi tidak semestinya menjurus kepada kajian, penilaian, sokongan dan juga kritikan.

Semangat ingin tahu yang ditonjolkan tidak semestinya menjurus kepada keberanian untuk menyuarakan pendapat dan mempertikaikan kepercayaan umum.

Semangat ini tidak membawa kepada aktivisme dan mendorong individu untuk mengorban masa, tenaga dan wang ringgit, dan masa depannya untuk terus mempertahankan apa yang dipegang.

Berapa banyakkah yang betul-betul boleh memberi pendapat, debat dan kritik yang mendalam, bernas dan adil, bukan sahaja dalam hal-ehwal tempatan dan juga perkembangan dunia; dalam bidang falsafah, politik, pendidikan, seni, sejarah, tamadun dan budaya?

Saya rasa tidak ramai.

Kerana pendidikan kita hanya sekadar untuk menulis karangan jenis perdebatan untuk lulus peperiksaan. Itupun dengan jawapan skema.