Saya tertarik dengan luahan Mansor Puteh tentang polarisasi kaum dalam media Cina dan India. Dengan sedihnya, saya bersetuju dan berkongsi duka dengan beliau tentang kurangnya bahan-bahan tempatan yang memaparkan kepelbagaian kaum, khususnya dalam media bukan Melayu.
Pemaparan hiburan asing dalam media massa verkanular bukanlah sesuatu yang baru. Saya teringat zaman kanak-kanak saya di mana semua orang kampung saya akan melopong di depan kaca TV untuk menonton siaran Hindustan dan kawan-kawan berbagai kaum di sekolah akan menonton rancangan drama Hong Kong pada waktu malam.
Berikut adalah pemerhatian saya.
1) Rancangan import yang dibawa dari luar mencerminkan kelemahan industri hiburan tempatan untuk menghasilkan rancangan sendiri. Industri tempatan dengan liputan pengguna Cina dan India yang kecil sememangnya tidak boleh bertanding dengan industri besar-besaran di luar negara.
2) Ketiadaan watak dan unsur kemelayuan dalam rancangan kaum India dan Cina tempatan, bukan sahaja mencerminkan tiada komitmen daripada penerbit-penerbit rancangan hiburan ke arah identiti kepelbagaian budaya (multiculturalism), tetapi juga mencerminkan hakikat polarisasi kaum yang dalam masyarakat Malaysia termasuklah polarisasi dalam sistem pendidikan, sosial, politik dan ekonomi.
3) Tiadanya definisi budaya nasional yang diterima dan dipromosi secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat juga menyumbang kepada masalah ini. 'Dasar Kebudayaan Kebangsaan' masih lagi dipertikaikan oleh pihak yang takutkan asimilasi budaya dan mempertahankan budaya minoriti. Saya merasakan bahawa lebih banyak dialog dengan aktivis budaya pelbagai kaum, kerajaan dan media massa diperlukan untuk memperoleh kepercayaan dan membentuk suatu identiti kebangsaan yang boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.
4) Kurangnya pendidikan, pendedahan dan promosi kebudayaan nasional dalam masyarakat bukan Melayu. Kurangnya komunikasi, perhubungan, persahabatan dan usahasama di antara penggiat budaya pelbagai kaum menyukarkan usaha merapatkan jurang perbezaan. Di sini saya merasakan Kementerian Kebudayaan boleh memainkan peranan penting.
5) Usaha pembentukan identiti kebangsaan adalah inisiatif yang emosi dan memerlukan kaedah yang lebih lembut untuk memperoleh kepercayaan semua pihak. Usaha ini mengambil masa yang lama dan memerlukan komitmen dan usaha keras daripada semua.
Sama-samalah kita berdoa dan bekerjasama ke arah visi ini.
Bersekutu Bertambah Mutu
Sunday, July 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
3 comments:
hey man, where r u?
at uni lah
Good topic to explore on... Checkout the Merdeka Statement tat Tricia and gang came up with :)
Post a Comment