Monday, December 04, 2006

Pantun-Pantun Rohani

Buah pala buah berangan,
Dibawa bersampan
Kalau ada pelita ditangan,
Masakan disimpan di dalam peti?

Dekat sekali gigi dan lidah,
Dekat sama lutut dan sendi,
Firman Ilahi bersinar sudah,
Dimana pula terserlah budi?

Luputlah siang malam berganti,
Cahaya terang gelap menjadi;
Tidak disangka sekali-kali,
Kesemuanya adalah kehendak Ilahi.

Buah jambu dimakan kera,
Dipetik Rukiah lari ke hutan;
Ilmu itu bertiang tiga,
Dialah cahaya penyuluh jalan.

Apa guna bercerah,
Kalau tidak bercahaya lagi;
Apa guna nyawa berserah,
Kalau tidak belajar lagi

Dari teluk pergi ke pekan,
Singgah bermalam di Batu Lima;
Sekalian makhluk Tuhan jadikan,
Kaya miskin dipandang sama

Encik Ali membawa galah,
Sampai kuala menjala ikan;
Bukit tinggi dijadi Allah,
Lautan dalam siapa galikan?

Encik Esah pergi Merlong,
Sampai Merlong masak petola;
Orang susah wajib ditolong,
Baru kita dapat pahala.

Kain baldu dibuat tilam,
Dara berdandan pengantin baru;
Rosak madu kerana jadam,
Rosak iman kerana nafsu

Kain pelikat di dalam peti,
Satu Jumaat sekali buka;
Sudah terikat dalam hati,
Satu rakaat tidak lupa.

Kalau ada gajah berjuang,
Jemurlah beras di atas para;
Kalau ada Allah menolong,
Siang malam barat utara.

Memukul itik di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagi berdosa,
Bertambah lagi kita yang jahil.

Panglima raja mudik bergalah,
Ditiup angin selatan daya;
Laut darat dijadikan Allah,
Asam manis semua serupa.

Raja Sulung Indera Shah Johan,
Gagah berani lagi perkasa;
Kalau ada pertolongan Tuhan,
Mana boleh rosak binasa.

Tidak tumbuh tidak melata,
Patah galah dalam padi;
Tidak sungguh kehendak kita,
Perintah Allah juga yang jadi.

Yang berlari sangat pantas,
Yang menang sangat bertuah;
Yang memberi tangan di atas,
Yang menerima tangan di bawah.

No comments: