Tuesday, September 16, 2008

Kuasa, Keadilan dan Kebenaran

Penahanan tiga orang dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri mencetuskan satu lagi drama terbaru dalam arena politik negara. Ia melibatkan seorang ADUN negeri Selangor yang sering dijadikan kambing hitam dalam percaturan politik perkauman.

Baru-baru ini saya telah memberi ulasan blog saya tentang ADUN tersebut berkaitan dengan isu yang dibangkitkan beliau mengenai papan tanda tulisan jawi. Saya tidak bersetuju dengan hujah mahupun pandangan politik beliau.

Meskipun saya tidak bersetuju dengan beliau, saya rasa bahawa sebagai masyarakat yang matang, demokratik dan berilmu, kita perlulah berhujah melalui alasan dan kebenaran, bukannya melalui ugutan kuasa.

Perbezaan pendapat tidak perlu berakhir dengan penyalahgunaan kuasa kekerasan, penyalahgunaan kelebihan politik mahupun amok yang tidak rasional. Sebaliknya perlulah diselesaikan dengan dialog dengan semangat faham-memahami.

Malah, menfitnah seseorang atas sesuatu yang beliau tidak lakukan seperti kes baru-baru ini, untuk mengapi-apikan semangat asabiah demi kepentingan politik sesetengah pihak adalah keterlaluan, dan menurut pemahaman saya tentang ajaran agama Islam, adalah dosa.

Dalam perihal ini, redup hati saya mendengar ulasan Mufti Perlis, Dr. Asri baru-baru ini, tentang penyalahgunaan kuasa untuk menghapuskan puak-puak yang berlainan pendapat.

“Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

“Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,”


Marilah kita kembali kepada visi masyarakat madani (atau sivil) iaitu masyarakat yang bertamadun dan matang, beserta dengan masyarakat yang divisikan dalam Piagam Madinah , masyarakat yang bersatu-padu, adil dan saksama antara umat Islam dan bukan Islam.

Marilah kita kembali kepada keadilan dan kebenaran, membuangkan yang keruh dan mengambil yang jernih.

Marilah kita menghadapi perbezaan pendapat dengan kata-kata yang penuh hikmah, kebijaksanaan dan lemah lembut. Akhlak, peribadi dan tindakan kitalah, yang mencerminkan keindahan Tuhan yang kita sembah, bukannya kuasa politik, ekonomi mahupun budaya yang kita punyai.

Salam damai

No comments: