Thursday, September 27, 2007

Saya Menyokong DEB

Kong Beng adalah penatua gereja dan pekerja sepenuh masa dengan sebuah gereja di Subang Jaya. Beliau juga merupakan pengarah OHMSI.

Tahun depan akan menjadi suku abad semenjak saya menghadiri satu temuramah dengan panel penemuramah Komisioner Polis yang menanyakan saya satu soalan. Mereka bertanyakan pendapat saya tentang Dasar Ekonomi Baru. Dasar yang diperkenalkan sejak 1971 dengan matlamat untuk membasmi kemiskinan dalam masyarakat Malaysia.

Saya berterus terang dengan pendapat saya. Saya berkata bahawa saya menyokong polisi tersebut dengan objektif-objektif yang tertulis dan implementasi dasar tersebut masih tidak dilaksanakan dengan memuaskan.

Saya memberikan mereka beberapa contoh tentang implementasi dasar tersebut berikutan pengalaman saya dengan professor saya di USM. Kami juga berbual tentang perkara-perkara lain sebelum temuramah berakhir. Beberapa minggu kemudian, saya dipanggil untuk temuramah pengambilan jawatan dan kemudiannya meneruma surat untuk saya melaporkan diri ke Pulapol (Pusat Latihan Polis) untuk berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia.

Setelah berakhirnya insiden rusuhan kaum 1969 di Kuala Lumpur, kerajaan pada masa itu memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan serampang dua mata untuk “membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum” dan “penstrukturan masyarakat untuk menghapuskan identiti kaum dengan kegiatan ekonomi”. Penggubal dasar tersebut berpendapat bahawa perpaduan nasional boleh dicapai apabila ketidakpuashatian antara kaum atas perbezaan sosioekonomi dapat dikurangkan.

Pelaksanaan DEB termasuklah Rancangan Rangka Perspektif Pertama (First Outline Perspective Plan) dari 1971–1990 dengan tujuan mengurangkan kemiskinan daripada 49% di Semenanjung Malaysia pada 1970 kepada 16% pada 1990. Hasilnya, walaupun kadar kemiskinan di semenanjung pada 1990 adalah 17%, kadar nasional adalah lebih tinggi sedikit. Melalui DEB, banyak yang telah dicapai. Tetapi banyak lagi yang boleh dicapai.
Saya berpendapat bahawa DEB telah membantu negara melalui matlamatnya tetapi dalam pelaksanaannya kita mendapati ianya dilaksanaan dengan sedikit berat sebelah antara kaum, seolah-olah hanya satu kelompok masyarakat sahaja yang miskin dan memerlukan bantuan. I

Baru-baru ini ada suara-suara yang dibangkitkan untuk menghapuskan dasar ini. Saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Saya masih percaya bahawa DEB dengan aspirasi murninya adalah untuk rakyat Malaysia yang miskin. Ini adalah untuk membantu mereka untuk berjaya meningkatkan taraf hidup setaraf dengan masyarakat umum, jika diberi sumber kewangan dan peluang untuk berbuat demikian.

Mungkin saya dipengaruhi oleh pengalaman sempit saya. Saya telah merasai kesan negatif DEB tetapi saya juga telah melihat kesan positifnya. Pada tahun pertama saya di kampus universiti, teman sebilik saya yang berasal dari Kedah datang daripada keluarga petani miskin yang setentunya tidak mampu menghantar beliau melanjutkan pelajaran sekiranya tiada DEB.

Pada akhir 1980, saya diberi penghormatan untuk melayan masyarakat Orang Asli dan saya mendapati bahawa DEB tidak membantu masyarakat tersebut. Sekiranya DEB tidak menjangkau orang-orang Asli pada akhir 80an, maka DEB juga mungkin tidak menjangkau majoriti penduduk miskin di kawasan bandar dan juga di Sabah dan Sarawak.

Saya percaya bahawa kita semua perlulah terus menyokong kedua-dua matlamat DEB dan memperbaik pelaksanaan dasar tersebut supaya yang miskin boleh dibantu dan masyarakat Malaysia boleh distrukturkan dengan jayanya tanpa dominasi mana-mana etnik dalam ekonomi negara, tetapi setiap kaum menyumbang kepada kesejahteraan segenap rakyat Malaysia.

Selamat Hari Kemerdekaan ke-50 kepada semua yang menyambut pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Selamat Hari Malaysia pada 16 September apabila kita menyambut ulangtahun ke-44 pembentukan Persekutuan Malaysia dengan saudara kita di Sabah dan Sarawak.

No comments: